KEADAAN jalan yang rosak teruk menyebabkan lebih 30 pelajar dan penduduk Orang Asli Pos Balar mengambil masa lebih 20 jam untuk sampai ke perkampungan mereka. FOTO ihsan penduduk
KEADAAN jalan yang rosak teruk menyebabkan lebih 30 pelajar dan penduduk Orang Asli Pos Balar mengambil masa lebih 20 jam untuk sampai ke perkampungan mereka. FOTO ihsan penduduk
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Lebih 30 pelajar dan penduduk Orang Asli dari Pos Balar, di sini, terpaksa meredah perjalanan lebih 20 jam untuk pulang ke rumah mereka berikutan jalan rosak akibat hujan berterusan sejak tiga hari lalu.

Perjalanan yang membabitkan tujuh kenderaan pacuan empat roda dengan lima disediakan kontraktor pengangkutan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan dua milik penduduk digunakan untuk menghantar pelajar Orang Asli pulang.

Penduduk Pos Balar, Kamal Alek, 37, berkata, keadaan hujan yang berterusan menyebabkan jalan masuk ke kampung rosak teruk, selain paras air sungai turut naik.

Katanya, jika hari biasa, perjalanan sejauh kira-kira 100 kilometer (km) itu mengambil masa selama lima jam tetapi kelmarin mereka terpaksa melaluinya selama lebih 20 jam.

"Hujan berterusan sejak tiga hari lalu menyebabkan keadaan jalan berselut dan rosak sehingga menyukarkan kami untuk melaluinya. Paras air sungai juga meningkat membuatkan kami lebih berhati-hati.

"Kelmarin, kami bertolak dari Kampung Kuala Betis jam 12 tengah hari dan sampai ke Bukit Cerem pada 3 pagi.

"Kerana menempuh perjalanan terlalu lama, kami seramai lebih 30 orang termasuk pelajar terpaksa bermalam di dalam hutan dan makan mi segera untuk mengalas perut sebelum bertolak balik jam 9 pagi dan kami selamat sampai di Pos Balar jam 3 petang semalam," katanya.

Dia bersyukur kerana semua pelajar selamat sampai ke rumah masing-masing dan kelihatan sangat penat.

"Inilah cabaran kami penduduk Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman. Bagi pelajar mereka tiada pilihan dan perlu melaluinya untuk pulang ke rumah," katanya.

Penduduk, Mus Alang, 52, berkata, situasi itu perlu dilalui penduduk Orang Asli di Pos Balar, Pos Bihai dan Pos Belatim untuk keluar membeli barang keperluan dan melakukan urusan lain di Bandar Gua Musang setiap kali musim tengkujuh.

"Setiap tahun jika musim hujan, kami perlu melalui cabaran jalan rosak teruk untuk keluar ke bandar Gua Musang bagi melakukan pelbagai urusan.

"Kami memohon pihak Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mengambil perhatian serius terhadap masalah jalan perhubungan desa yang sentiasa rosak terutamanya ketika musim tengkujuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 3:09 PM