Tanah runtuh yang sudah dibersihkan di laluan Kampung Orang Asli Hendrop menuju ke Kampung Orang Asli Tuel, Pos Hendrop, di sini. FOTO IHSAN JAKOA
Tanah runtuh yang sudah dibersihkan di laluan Kampung Orang Asli Hendrop menuju ke Kampung Orang Asli Tuel, Pos Hendrop, di sini. FOTO IHSAN JAKOA
BERNAMA

Gua Musang: Jalan menghubungkan empat perkampungan Orang Asli di Pos Hendrop di sini, kini boleh dilalui selepas runtuhan tanah yang berlaku semalam, dibersihkan.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memaklumkan, bagaimanapun jalan yang menghubungkan empat kampung dengan bandar Gua Musang itu hanya dibuka satu lorong kepada kenderaan.

Menurut kenyataan, Jakoa Kelantan dan Terengganu menerima laporan daripada penduduk kampung dan beberapa portal akhbar tempatan berkenaan jalan runtuh di laluan berkenaan.

"Memandangkan jalan terbabit berdaftar di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan berada di bawah pemantauan Pejabat Tanah serta Jajahan Kecil Lojing, Jakoa Kelantan dan Terengganu sudah berhubung dengan Penolong Ketua Jajahan berkenaan.

"Beliau (Penolong Ketua Jajahan Kecil Lojing) menyatakan bahawa runtuhan sudah dibersihkan, namun hanya separuh daripada runtuhan dapat dibersihkan terlebih dahulu kerana bimbang akan berlaku runtuhan susulan," menurut Jakoa.

Menurut Jakoa, pihak Pejabat Tanah dan Jajahan Kecil Lojing juga memaklumkan bahawa pembersihan berkenaan adalah bersifat sementara, malah tindakan lanjut diusahakan segera bagi kemudahan serta keselamatan penduduk Orang Asli yang terjejas.

"Jakoa akan terus menghulurkan bantuan daripada segi aspek sosial dan kebajikan sebagaimana skop penugasan yang ditetapkan menggunakan peruntukan yang disalur oleh kerajaan," menurut kenyataan.

Semalam, lebih 20 keluarga Orang Asli suku kaum Temiar membabitkan penduduk Kampung Hanir, Kampung Gere, Kampung Perlug dan Kampung Tuel di Pos Hendrop terputus hubungan akibat tanah runtuh di laluan utama ke perkampungan mereka.

Berikutan kejadian itu, penduduk terjejas untuk melakukan aktiviti seharian, malah penjaja juga tidak dapat masuk ke penempatan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 4:49 PM