Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Saya tidak jangka banjir memasuki di dalam rumah dengan begitu cepat, sebab tahun lalu tidak berlaku banjir.

"Namun saya pasrah, lagipun sudah lapan kali saya berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus," kata Norma Ramli ketika ditemui, hari ini.

Kakitangan awam itu adalah antara hampir 1,000 mangsa banjir di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak, Kuala Nerus yang berpindah di PPS SK Kompleks Gong Badak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Kompleks Gong Badak, selepas kediaman mereka terjejas banjir bermula hari ini.

Mengulas lanjut, Norma, 41, berkata, banjir mula melanda kawasan rumahnya bermula 5.45 pagi tadi ketika dia bangun untuk menunaikan solat subuh.

"Saya jangka banjir tidak memasuki rumah sebab tahun lalu tidak berlaku, jadi saya pergi kerja seperti biasa pada pagi tadi.

"Bagaimanapun selepas lebih sejam di pejabat, saya mula tidak sedap hati sebelum pulang kira-kira 10 pagi, air mula masuk melalui pintu dapur sebelum pintu utama sehingga paras lutut orang dewasa.

"Disebabkan air begitu cepat masuk di dalam rumah, saya hanya sempat kemas barang-barang penting sahaja bersama suami dan anak, termasuk (alihkan kandang) kucing dan arnab peliharaan ke tempat yang lebih tinggi.

"Manakala selebihnya saya tidak sempat untuk alih ke tempat yang lebih tinggi termasuk sebuah motosikal, namun saya reda dengan ketentuan Allah," kata Norma.

Seorang lagi mangsa, Mustaffa Husain, 70 berkata, dia juga tidak menduga banjir pada kali ini memasuki rumahnya selepas kali terakhir pada 2020.

Bekas anggota tentera itu menyifatkan banjir pada kali ini adalah luar biasa seperti banjir besar pada 2014.

"Sebenarnya saya tidak menyangka air melimpahi kawasan rumah dan seterusnya memasuki di dalam rumah sebab saya difahamkan projek tebatan banjir yang menelan kos jutaan ringgit sudah siap sepenuhnya.

"Bagaimanapun apa yang berlaku adalah sebaliknya, namun saya reda dengan ketentuan Allah sambil berharap banjir kembali surut bagi membolehkan kami pulang ke rumah," katanya ketika ditemui.

Berdasarkan rekod, kali pertama banjir melanda di taman berkenaan pada 2012 dan sehingga kini sebanyak lapan kali banjir.

Namun paling besar dan paling diingati penduduk di taman berkenaan pada 2014 kerana mereka terpaksa berpindah ke PPS sebanyak dua kali pada November dan Disember dengan paras banjir di dalam rumah dengan kedalaman 1.5 meter.

NORMA meletakkan haiwan peliharaannya di tempat lebih tinggi selepas rumahnya dilanda banjir. FOTO Malik Muhamad
NORMA meletakkan haiwan peliharaannya di tempat lebih tinggi selepas rumahnya dilanda banjir. FOTO Malik Muhamad

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 11:20 PM