QURRATU Aini bermain dengan arnab peliharaannya, Chico, yang diselamatkan ketika rumahnya dilanda banjir. FOTO BERNAMA
QURRATU Aini bermain dengan arnab peliharaannya, Chico, yang diselamatkan ketika rumahnya dilanda banjir. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Kerana terlalu sayangkan haiwan peliharaan yang tidak mempunyai tempat tinggal selepas rumah dilanda banjir, seorang penduduk di Kampung Pengkalan Minyak di Ayer Molek di sini membawa sekali haiwan peliharaan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Qurratu Aini Ramlan, 23, berkata, beliau terpaksa membawa arnab kesayangan dan lima kucing peliharaan ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek bagi menyelamatkan haiwan tersebut selepas kawasan rumahnya dinaiki air semalam.

Peniaga makanan itu berkata, sebelum kejadian banjir itu berlaku, arnab yang diberi nama Chico kelihatan gelisah dan tidak senang duduk di dalam sangkar seakan-akan memberi tanda suatu kejadian buruk akan berlaku di kawasan kampung tersebut.

"Betullah orang kata haiwan mempunyai deria keenam. Mulanya saya pelik dengan gelagat Chico sebab selama dua bulan pelihara, ini kali pertama tengok dia gelisah dan seolah-olah memberontak.

"Saya bersyukur dapat selamatkan Chico kerana ia pemberian seseorang yang istimewa. Bila air naik mendadak kira-kira 11 pagi pada Sabtu, saya hanya fikirkan untuk selamatkannya dahulu kerana tidak mahu mensia-siakannya," katanya ketika ditemui Bernama di PPS, di sini, hari ini.

Qurratu Aini berkata, beliau dan 16 lagi ahli keluarga yang tinggal di kampung sama berpindah ke PPS tersebut kira-kira 6 petang semalam.

QURRATU Aini (kiri) dan anak saudaranya, Irfan Naufal Jamal, 7, bermain dengan arnab dan kucing peliharaannya yang diselamatkan ketika rumahnya dilanda banjir. FOTO BERNAMA
QURRATU Aini (kiri) dan anak saudaranya, Irfan Naufal Jamal, 7, bermain dengan arnab dan kucing peliharaannya yang diselamatkan ketika rumahnya dilanda banjir. FOTO BERNAMA

Sementara itu, menurut aplikasi infoBencanaJKM, mangsa banjir di Melaka kembali meningkat kepada 474 mangsa pada jam 4 petang ini berbanding 404 orang dua jam sebelum itu.

Ia berikutan sebuah PPS baharu dibuka pada jam 10.30 pagi tadi di Sekolah Kebangsaan (SK) Gantung yang menempatkan 17 mangsa daripada tiga keluarga.

Selain itu, pertambahan mangsa turut dikesan berlaku di Jasin membabitkan SK Tehel dengan 125 mangsa (30 keluarga), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shuh Yen melibatkan 61 mangsa (16 keluarga) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil mempunyai 122 mangsa (52 keluarga).

Kesemua mangsa kini ditempatkan di enam PPS di tiga daerah yang mula dibuka sejak Jumaat lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 7:16 PM