Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Banjir termenung menjadi 'penghalang' buat lebih 1,000 mangsa yang berteduh di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gong Badak untuk pulang ke kediaman masing-masing lebih awal.

Fenomena itu bagaikan lumrah buat penduduk Taman Desa Tanjung Damai (TDTD), Gong Badak sejak berpindah pada Selasa lalu walaupun keadaan cuaca semakin baik sejak semalam tanpa hujan lebat.

Tinjauan di taman berkenaan bagaimanapun mendapati penduduk sering berulang-alik untuk meninjau keadaan kediaman mereka selain ada sebahagiannya mengambil peluang untuk mengalihkan barangan mereka yang tenggelam.

Seorang penduduk, Zakiah Jaffar, 45, berkata, dia bagaikan tidak sabar untuk pulang ke kediamannya selepas terpaksa bermalam di PPS SK Kompleks Gong Badak sejak Selasa lalu selepas rumahnya dimasuki air banjir sedalam 0.5 meter (m).

"Sebenarnya ini bukan kali pertama saya mengalami situasi banjir ini, sudah lapan kali saya melaluinya dengan terpaksa berpindah ke PPS bersama suami dan empat anak.

"Fenomena banjir termenung ini bagaikan menghantui kami walaupun tebatan banjir sudah siap sepenuhnya, namun saya tetap reda.

BANJIR termenung di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak, Kuala Nerus menyebabkan lebih 1,000 penduduk tidak dapat pulang ke kediaman masing-masing. FOTO Malik Muhamad
BANJIR termenung di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak, Kuala Nerus menyebabkan lebih 1,000 penduduk tidak dapat pulang ke kediaman masing-masing. FOTO Malik Muhamad

"Namun saya mengharapkan pihak berkuasa dapat memantau situasi banjir ini supaya kami dapat segera pulang ke kediaman untuk mengemas rumah dan sebagainya," katanya ketika ditemui di PPS SK Kompleks Gong Badak.

Seorang lagi mangsa banjir di taman berkenaan, Mohd Firdaus Harfiz Mohamad, 38, yang baharu pertama kali menghuni di PPS mengharapkan banjir termenung ini mendapat perhatian yang serius daripada kerajaan negeri.

"Saya menetap di taman TDTD ini sejak 2017, sudah empat kali menghadapi situasi banjir. Kali ini saya lihat aliran air surut lambat walaupun sudah ada tebatan banjir.

"Justeru kami minta pihak berkuasa dapat memantau situasi ini bagi mengelak perkara sama berulang pada akan datang," katanya.

Selasa lalu, lebih 1,000 penghuni di taman berkenaan terpaksa berpindah selepas kawasan kediaman mereka dinaiki air banjir antara satu hingga 1.5 m.

Dalam pada itu, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri bertungkus-lumus untuk memastikan air surut dengan cepat di taman berkenaan selepas menyediakan pam kedua hari ini yang dibawa dari Perak untuk mengalirkan air keluar ke sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 11:41 PM