SELAIN mendalami pengetahuan di dalam bidang pembinaan, peserta program ACE turut menjalani latihan melibatkan pengurusan perniagaan.
SELAIN mendalami pengetahuan di dalam bidang pembinaan, peserta program ACE turut menjalani latihan melibatkan pengurusan perniagaan.
Oleh Suliati Asri


Bagi meningkatkan daya saing dan kebolehan kontraktor Bumiputera terutama dari golongan belia seterusnya memenuhi kehendak pasaran terkini, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia menganjurkan Accelerator Programme For Construction Entrepreneurs (Program Ace).

Program kerjasama antara Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dengan CIDB di bawah Pelan Belanjawan 2022 ini menyediakan kursus peningkatan kapasiti dan On the Job Training (OJT) untuk usahawan pembinaan belia atau kontraktor belia Bumiputera gred G1 hingga G4.

Selain menyediakan latihan dan pensijilan yang berkaitan, program ini juga meningkatkan kesedaran peserta mengenai kaedah perniagaan terkini serta modul peningkatan jati diri.

Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Kontraktor CIDB Haniza Soid Hamidi berkata, objektif program ini adalah untuk membangunkan golongan usahawan pembinaan atau kontraktor Bumiputera yang berpengetahuan dan kompeten.

Menurutnya, program itu adalah bagi menyediakan latihan berstruktur yang membabitkan latihan kompetensi dan pengetahuan mengenai pengurusan perniagaan dan projek pembinaan.

"Penganjuran program juga bertujuan untuk melengkapkan peserta dengan latihan dan pensijilan yang berkaitan.

"Dalam masa sama, program ini dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan ilmu ICT dan mempromosikan adaptasi penggunaan ICT dan teknologi dalam pengurusan pembinaan.

"Menerusi program ini juga, peserta dapat mempraktikkan amalan terbaik dalam pengurusan projek, kualiti, keselamatan, kesihatan dan persekitaran (SHE)," katanya.

Menariknya, program ini turut menyasarkan untuk melahirkan usahawan pembinaan generasi baru berpengetahuan, mempunyai pendedahan hands on, mempunyai sijil kompetensi yang berkaitan, semangat daya saing yang tinggi, profesional, berintegriti, selesa dengan digitalisation/IOT dan kebolehan komunikasi serba boleh.

Selain itu, program Ace ini juga menyasarkan peserta belia dari seluruh negara yang berkelayakan.

Ia terdiri daripada dua kategori peserta iaitu kategori satu membabitkan Kontraktor Gred G1-G4 dan kategori dua iaitu Graduan TVET Pembinaan.

Haniza berkata, peserta yang terpilih perlu menjalani latihan komprehensif berstruktur selama dua bulan setengah.

Peserta juga, katanya, akan diberi pelbagai latihan untuk meningkatkan jatidiri, motivasi, pengetahuan keusahawanan serta pelbagai latihan berkaitan pengurusan projek.

"Sepanjang tempoh latihan, peserta akan menjalani latihan kompetensi kemahiran (Sijil Kompetensi Kemahiran Kontraktor- SKKP CIDB).

"Mereka juga akan mengikuti kursus pengkhususan kontraktor (Sijil Kecekapan Pengurusan-SKP CIDB) yang bersesuaian dengan profiling peserta dan suai padan projek sebenar yang akan dijawat nanti," katanya.

Tujuh modul teras yang dikenal pasti dalam Program Ace ini adalah seperti Program Induksi dan Jatidiri, Modul Wajib Kontraktor, Keusahawanan, Teknologi dan Kualiti Pembinaan, Penyeliaan dan Pengurusan, Pengkhususan Kontraktor-SKP CIDB dan Kompetensi Kemahiran Tred-SKKP CIDB.

Dalam latihan itu juga, peserta akan beri pendedahan kepada amalan terbaik dan pendekatan pengurusan kerja atau projek semasa di industri.

Pengajar dan penceramah yang dipilih pula terdiri daripada pemain industri berpengalaman dan subject matter experts (SMEs) dalam bidang masing-masing.

Bagi memastikan objektif latihan ini tercapai, Haniza berkata, ia dijalankan secara dua hala dan setiap latihan juga platform perbincangan.

"Antara topik yang diketengahkan sepanjang latihan ini termasuklah penyediaan kontrak, pengurusan projek, pengurusan kewangan, pentadbiran perniagaan, teknik promosi masa kini dan pengurusan fasiliti juga akan dibincangkan.

"Pertemuan dengan badan sokongan pembangunan usahawan dan agensi kewangan juga diaturkan selain peserta juga akan dinilai sebelum dan selepas program untuk menilai peningkatan kefahaman mereka," katanya.

Pengambilan peserta bagi program ini dilaksanakan secara berperingkat mengikut wilayah.

Bagi sesi pengambilan 1/2022 ini, ada tiga kohort peserta di tiga pusat iaitu di Wilayah Utara, Tengah dan Timur, dengan jumlah peserta seramai 59 orang.

Untuk maklumat lanjut program ACE, layari laman sesawang www.aceprogramme.my atau melalui platform media sosial Instagram: @programace atau Facebook: @programace.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 10:19 AM