Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Tan Sri Annuar Musa mengaku PAS mempelawa beliau untuk menghadiri kenduri kesyukuran, masing-masing diadakan di bandar ini dan Tumpat, hari ini.

"Jika hadir, mereka (PAS) minta saya bersyarah (berceramah) di Tumpat malam ini, tetapi saya tidak terima, sebab baru bercerai tiga hari lalu (dengan Umno).

"Kena tunggu lepas edah dahulu. Jangan cepat sangat kerana saya bukan begitu," katanya secara berseloroh ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Ketua-Ketua Cawangan Umno Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, Padang Kala di sini, hari ini.

Bekas Ketua Umno Bahagian Ketereh itu antara tiga pemimpin akar umbi yang dipecat, dengan keputusan pemecatan itu dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Khamis lalu.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan dilapor berkata, tindakan itu diambil mengikut fasal 10.6 Perlembagaan, yang memberi hak kepada parti untuk melucutkan keahlian mana-mana ahlinya.

Mengulas pemecatan itu, Annuar berkata, hanya mengetahui dirinya 'dibuang' menerusi media sosial dan dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp Ketua Badan Perhubungan Umno.

Beliau mendakwa tidak mengetahui punca sebenar dipecat dan tidak menerima surat rasmi pemecatan itu.

"Rupanya begini dalam politik, umpama tidak sempat mati tetapi kena tanam. Saya masuk dengan baik dalam Umno sejak 43 tahun lalu dan mahu keluar dengan elok juga," katanya.

ANNUAR Musa ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Ketua-Ketua Cawangan Umno Parlimen Ketereh di Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
ANNUAR Musa ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Ketua-Ketua Cawangan Umno Parlimen Ketereh di Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 6:43 PM