Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa meminta mana-mana parti dalam komponen BN mengambil iktibar daripada beberapa peristiwa yang pernah berlaku sebelum ini sehingga membawa kepada perpecahan dan keruntuhan dalam politik negara.

Annuar berkata, pada ketika ini, dia melihat parti dalam komponen BN seperti hendak berpecah semula.

"Perpecahan yang berlaku akan menyebabkan sesebuah parti itu jatuh, sekalipun negara kita terdiri daripada pelbagai kaum berbeza, namun kita berpaksikan kesederhanaan, permuafakatan serta kerjasama.

"Saya ada sebut dulu, kalau UMNO rasa tidak boleh kalah dan kita jadi cepat lupa, tetapi hakikatnya kita kalah. Kenapa kita kalah, kerana kita berpecah pada waktu itu.

"Bagaimana PAS pun melalui perkara yang sama. PAS ambil jalan sendiri dan akhirnya PAS pun kalah juga. DAP juga macam itu, buat Pakatan Harapan (PH) dan berjaya buat kerajaan pastu (kemudian) berpecah, maka akhirnya kalah juga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh 2020 di Dewan Tun Ghaffar Baba, Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, UMNO tidak melakukannya dengan baik.

"Disebabkan kelemahan-kelemahan itu, kita (UMNO) tidak betul-betul 'solid' di saat-saat akhir ketika pilihan raya, berlawan sesama sendiri, letak calon lawan sesama sendiri dan akhirnya kita dapat prestasi yang kita harapkan untuk menang 14 kerusi dalam PRN Sabah," katanya.

ANNUAR berucap Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANNUAR berucap Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Dalam perkembangan lain, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, beliau akan sentiasa berpegang dan mempertahankan sesuatu perkara di dalam parti sehinggalah parti itu sendiri yang mengubahnya.

"Ia termasuk ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk, maka bila kita jadi kerajaan, kita kena 'behave as one', jangan sangka saya duduk dalam kerajaan sebagai menteri nak bergaduh sesama anggota kabinet disebabkan parti lain-lain.

"Jadi sebab parti putuskan secara sukarela kita menyertai kerajaan, kita mesti bentuk kerajaan yang baik, kita mesti berprestasi dan memenuhi hasrat rakyat.

"Begitu juga sokongan kita kepada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), masih merupakan keputusan parti dan kita tidak boleh buat tindakan yang tak selari dengan prinsip menyokong Perdana Menteri," katanya.

Menurut Annuar, BN menyokong untuk bersama mendokong kerajaan PN namun tidak menjadi ahli parti berkenaan namun masih bekerjasama atas nama BN dan juga PN.

"Kita tidak masuk menjadi anggota parti PN seperti PAS. Walaupun PAS pilih untuk masuk, kita terus bekerjasama atas nama BN bekerjasama dengan PN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 5:30 PM