GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Pemandu dan kelindan lori ais maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler membawa muatan baja di Kilometer 76.0 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan II, Shalneeraj Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan pada jam 4.24 pagi.

"Pemandu lori jenis Isuzu, Mohd Hafiz Jamal, 35, dan kelindan Mohd Azhar Basir, 46, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk masing-masing.

"Manakala pemandu treler, A Ranjit, 40, selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan.

Shalneeraj berkata, pihak bomba mengambil masa kira-kira satu jam dan terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit pada bahagian kepala lori yang remuk akibat rempuhan berkenaan.

"Kedua-dua mangsa berkenaan kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Seramai enam orang anggota dari BBP Ayer Hitam dan satu jentera FRT dihantar ke tempat kejadian. Operasi ditamatkan pada jam 6.03 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 3:38 PM