GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Pelbagai usaha termasuk pembersihan sungai, pemberian beg kitar semula dan penamaan pokok menggunakan kutipan caj 20 sen beg plastik dijalankan kerajaan Selangor bagi menjamin kelestarian alam sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, kerajaan juga menjalankan program kitar semula, kempen dan program mesra alam iaitu pengurangan penggunaan beg plastik.

"Kita juga ada pemberian beg kitar semula, bekas makanan secara percuma, Program Sistem Pengumpalan Air Hujan, Kebun Komuniti, hidroponik.

"Selain itu, ada Pemasangan Lampu Solar, pengumpulan minyak terpakai serta kempen hari tanpa kenderaan dan banyak lagi secara berterusan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, negeri itu mungkin mencadangkan menaikkan caj kutipan atau mengadakan hari tanpa beg plastik berikutan peningkatan penggunaan beg plastik di Selangor.

Setakat 30 Jun lalu kutipan beg plastik di Selangor adalah RM4.8 juta dan dijangka mencecah lebih RM9 juta tahun ini.

Sementara itu, pengguna yang ditemui mengutarakan pandangan berbeza berhubung isu caj 20 sen bagi beg plastik.

Seorang kakitangan awam, Ilham Zaini, 27 tahun berkata, masalah bebanan caj 20 sen kepada pengguna hanyalah sementara jika dibandingkan dengan timbunan sampah plastik yang mengambil masa beribu tahun untuk dihapuskan.

Malah katanya, kerajaan negeri perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk kerja-kerja melupuskannya.

"Pada pandangan saya ia perlu diteruskan (caj 20 sen). Tidak dapat dinafikan banyak aduan ramai mengenai inisiatif ini pada mulanya diperkenalkan.

"Namun, tujuan caj 20 sen ini dikenakan adalah untuk memupuk budaya membawa beg sendiri dari rumah ketika

membeli belah dan mengajak masyarakat ke arah perubahan yang baik demi kepentingan alam sekitar.

"Sekiranya ada pengguna terkesan, mereka boleh membawa beg sendiri dari rumah. Hanya perlu beli sekali beg kitar semula tetapi boleh guna berulang kali," katanya.

Berbeza pula dengan Liza Nachim, 30 tahun yang menyifatkan caj 20 sen bagi setiap beg plastik membebankan pengguna.

"Sepatutnya tidak perlu caj beg plastik sebab tidak semua ada beg kitar semula yang banyak dan mencukupi untuk bawa semua barang yang dibeli.

"Adakalanya, terpaksa juga ambil beg plastik di kaunter sebab saya sendiri akan beli barang dapur kuantiti banyak iaitu tempoh seminggu atau dua minggu.

"Saya pula tinggal di rumah flat yang tinggi, bila lif rosak susah hendak angkat barang ke rumah. Mahu atau tidak saya terpaksa beli plastik tambahan untuk semua barang yang dibeli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 2:21 PM