ANTARA e-sisa yang berjaya dikumpul.
ANTARA e-sisa yang berjaya dikumpul.

Kuala Lumpur: Maxis bekerjasama dengan E-waste Recycling Through Heroes (ERTH) untuk menyediakan kutipan sisa elektronik (e-sisa) dari premis pilihan pengguna di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

ERTH adalah pusat pengumpulan e-sisa perusahaan sosial yang berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar.

Melalui kempen ini, pengguna hanya perlu meminta untuk kutipan e-sisa di laman web Maxis, menyenaraikan barangan untuk dikitar semula, dan menyediakan barangan itu untuk pungutan pada tarikh dan masa ditetapkan.

Persatuan penduduk dan pengurusan bangunan juga boleh bekerjasama dengan ERTH untuk menganjurkan sesi kutipan e-sisa di kawasan kejiranan atau kawasan komersial mereka.

Ketua Pegawai Jualan dan Perkhidmatan Maxis, Patrick Er berkata, beliau berbesar hati melihat sambutan orang ramai terhadap kempen kitar semula ini yang telah dibina atas kejayaan kempen dalaman Maxis tahun ini.

"Kami bermula secara kecil-kecilan tetapi telah melihat momentum yang menggalakkan. Dalam jangka masa panjang, kami berharap untuk mengembangkan perkhidmatan ini ke negeri lain untuk mewujudkan kesedaran yang lebih besar mengenai kitar semula e-sisa dan merekrut lebih ramai orang untuk menyertai kami dalam usaha ini," katanya dalam kenyataan.

Semenjak pelancaran kempen ini pada 14 Oktober bersempena Hari E-Sisa Antarabangsa, Maxis dan ERTH telah mengumpul lebih daripada 2,000 barang e-sisa dan mengelakkan lebih lima tan e-sisa daripada terkumpul di tapak pelupusan sampah.

Kerjasama antara Maxis dan ERTH juga mendapat pengiktirafan antarabangsa, memenangi Anugerah Video Kecemerlangan dalam Kelestarian di GSMA M360 Asia-Pasifik beberapa bulan sebelum ini.

Sementara itu, Pengasas ERTH, Mohamed Tarek El-Fatatry berkata, walaupun e-sisa mewakili hanya peratusan kecil sisa isi rumah, ia menyumbang 70 peratus daripada pencemaran logam berat toksik dalam alam sekitar dan menghasilkan bahaya kesihatan sama seperti kesan plastik.

"Dengan merintis projek ini bersama Maxis, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang di seluruh Malaysia untuk mengamalkan pengitaran semula e-sisa dan membuat perubahan positif untuk alam sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 6:20 AM