Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan peniaga yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya sehingga koma, tiga tahun lalu, untuk membela dirinya.

Hakim Fatimah Zahari membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap tertuduh, Rosmaini Abd Raof, 41, di akhir kes pendakwaan.

"Selepas meneliti keterangan saksi pendakwaan termasuk dokumen, eksibit dan hujahan bertulis pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

"Oleh itu, tertuduh diperintahkan untuk membela diri mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan," katanya.

Rosmaini diberi tiga pilihan untuk membela diri iaitu pertama, beliau boleh berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan; kedua, beliau boleh memberi kenyataan tidak bersumpah daripada tempat saksi atau memberi keterangan secara bersumpah.

Tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah ketika membela diri.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Januari ini bagi sebutan semula bagi menetapkan tarikh perbicaraan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Bariah Jalil manakala tertuduh diwakili peguam TC Lim.

Peguam pemerhati yang mewakili keluarga Jahidah Nordin@Sylvester, 46, Muhammad Hazeem Mohd Norizan, turut hadir mengikuti prosiding berkenaan.

Terdahulu, keluarga Jahidah terdiri daripada bapanya, Nordin Kasim, 70, selain dua adiknya, Fauziah dan Fazariah Nordin, hadir seawal jam 8 pagi di perkarangan mahkamah bagi mengikuti kes berkenaan.

Pada 17 Jun 2021, Rosmaini, dilaporkan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, itu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bekas isteri ketiga, Jahidah Nordin@Sylvester, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan isterinya itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin kira-kira jam 6 pagi, 4 Mei 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

ROSMAINI diarah membela diri oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ROSMAINI diarah membela diri oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Kes Jahidah itu menggemparkan negara berikutan wanita berkenaan dilaporkan hamil ketika dipukul sehingga parah dan koma.

Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan itu kemudian dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar, di Seremban, Negeri Sembilan, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021.

Pada 15 Mac tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Seremban dilaporkan membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Februari 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 11:46 AM