Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membela diri atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud prima facie dalam kes itu.

"Najib mempunyai kepentingan dan kawalan penuh dalam SRC International. Najib menyebabkan RM42 juta dimasukkan ke dalam akaunnya bagi kepuasan dirinya sendiri.

"Selepas meneliti semua bukti, keterangan, dokumen dan hujah, saya memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud prima facie. Oleh itu tertuduh perlu membela diri atas semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya," katanya.

Najib yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memilih untuk membela diri secara keterangan bersumpah.

Pasukan pendakwaan hadir dan diketuai oleh Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Mahkamah sebelum ini sudah menetapkan 10 hari bermula 3 Disember depan untuk Najib membela diri.

Keputusan penuh akan menyusul.

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, meninggalkan Mahkamah Tinggi Jenayah 1 untuk mendengar keputusan kes SRC International di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO MOhamad Shahril Badri Saali
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, meninggalkan Mahkamah Tinggi Jenayah 1 untuk mendengar keputusan kes SRC International di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO MOhamad Shahril Badri Saali

Berita berkaitan

SRC: Najib dibebaskan atau bela diri?

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 11:56 AM