FOTO Ihsan Polis
FOTO Ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Remaja perempuan maut digilis treler dalam kemalangan di Jalan Kuching dekat Taman Wahyu di sini, hari ini.

Mangsa berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis menerima laporan kejadian pada 12 tengah hari.

"Kejadian membabitkan penunggang motosikal Honda Wave iaitu remaja perempuan berusia 19 tahun dan lelaki berusia 41 tahun yang memandu treler Mitsubishi Fuso.

"Siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal dari arah Bulatan Batu Caves menghala ke Bulatan Kepong berada di kiri jalan sebelum dipercayai hilang kawalan dan terjatuh.

"Mangsa kemudian digilis treler yang sedang bergerak di lorong sama," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 9:14 PM