GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Mayat wanita dalam keadaan kembung dan bengkak ditemukan terapung di Sungai Batu, Batu 3, Jalan Ipoh di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mayat berkenaan ditemukan orang awam, 10.30 pagi tadi.

"Polis menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mendapati mayat berkenaan terapung di permukaan air dan terperangkap dengan sampah sarap.

"Identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti memandangkan mangsa dijumpai dalam keadaan bogel dan tiada dokumen pengenalan diri yang dijumpai di badan mayat berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng lai berkata, kerja mengangkat keluar mayat dibantu oleh pihak bomba dari Balai Bomba Sentul.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur bagi proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206 atau pegawai penyiasat Sarjan Omar Sharib di talian 03-40482226," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 4:57 PM