Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan sebanyak RM 19 juta bagi bantuan LZS Peduli dengan permohonan mula dibuka sejak 21 November lalu.

Peruntukan itu sebagai persediaan memberi bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, dianggarkan kira-kira 400 permohonan sudah dibuat sejak inisiatif itu dibuka kepada orang ramai.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini jumlah pemohon masih rendah di mana berkemungkinan kejadian banjir tidak teruk berbanding tahun lalu.

"Bantuan ini boleh dimohon untuk semua umat Islam tanpa mengira sama ada golongan asnaf atau pun tidak.

"Ini adalah salah satu inisiatif bantuan daripada LZS secara 'one off' kepada ketua keluarga yang terjejas akibat banjir," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serahan Sumbangan Dana Tabung Kebajikan Pesakit Hospital (TKPH) dan Geran Pendidikan Pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) LZS di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Menurutnya, hanya satu permohonan sahaja dibenarkan bagi setiap kediaman.

Beliau berkata, untuk pemilik rumah dan harta benda terjejas teruk boleh melayari laman sesawang LZS di www.zakatselangor.com.my/peduli.

SYED Anwar Jamalullail (barisan hadapan tengah) diiringi Mohd Sabirin (barisan hadapan lima dari kiri) bersama penerima sumbangan pada Majlis Serah Sumbangan Dana Tabung Kebajikan Pesakit Hospital (TKPH) dan Geran Pendidikan Pelajar OKU Lembaga Zakat Selangor di Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Kampus Puncak Alam, Kuala Selangor. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 5:57 PM