TENGKU Permaisuri Norashikin hadir pada majlis simbolik penyerahan sumbangan zakat sebanyak RM3.74 juta kepada Tabung Kebajikan Pesakit LZS di 18 buah hospital dan institusi perubatan. FOTO Ihsan LZS
TENGKU Permaisuri Norashikin hadir pada majlis simbolik penyerahan sumbangan zakat sebanyak RM3.74 juta kepada Tabung Kebajikan Pesakit LZS di 18 buah hospital dan institusi perubatan. FOTO Ihsan LZS
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan sumbangan zakat sebanyak RM3.74 juta kepada Tabung Kebajikan Pesakit LZS di 18 hospital dan institusi perubatan di Selangor serta Kuala Lumpur.

LZS dalam kenyataan memaklumkan, melalui tabung itu, setiap hospital dan institusi perubatan masing-masing menerima sumbangan zakat antara RM40,000 hingga RM300,000.

"Sumbangan fasa pertama disalurkan pada Jun lalu membabitkan peruntukan zakat sebanyak RM1.77 juta manakala sumbangan fasa kedua disalurkan bulan ini dengan peruntukan sebanyak RM1.997 juta.

"Sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit LZS ini disalurkan dalam bentuk geran yang diperuntukkan oleh LZS sejak 2008.

"Ia adalah sebahagian usaha LZS meringankan beban pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital, lebih-lebih lagi dalam situasi krisis pandemik Covid-19," katanya.

Menurut kenyataan itu, antara hospital yang menerima sumbangan berkenaan adalah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Hospital Kuala Lumpur (HKL), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur, Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Institut Kanser Negara.

Terdahulu, simbolik penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dalam satu majlis di Istana Bukit Kayangan, di sini hari ini.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr. Faizal Mat Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 12:08 AM