GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kekangan untuk memperoleh pendapatan lebih lumayan dilihat sebagai antara faktor yang mendorong golongan bukan Bumiputera tidak memilih bagi membina kerjaya dalam badan beruniform.

Penganalisis jenayah Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, isu kekurangan jumlah golongan bukan Bumiputera menyertai badan beruniform termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlaku sejak dulu lagi.

"Isu ini bukan perkara baru, malah sudah dilalui sejak dulu lagi. Kebanyakan golongan bukan Bumiputera lebih memilih untuk berniaga berbanding kerja dengan kerajaan kerana boleh meraih pendapatan lebih lumayan.

"Selain itu, mereka tidak perlu terikat dengan undang-undang yang ketat dalam pasukan (badan beruniform) serta menjalani latihan yang sukar untuk bergelar sebagai anggota dan pegawai polis.

"Terdapat juga persepsi dalam kalangan golongan ini mengenai agensi penguat kuasa yang sinonim dengan rasuah mengakibatkan mereka tidak mahu menyertai badan uniform berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahlul Hamid berkata, galakan perlu diberikan kepada golongan bukan Bumiputera untuk menyertai agensi penguat kuasa berkenaan yang sudah memperuntukkan kuota tertentu bagi menarik minat kumpulan itu.

"Jika difikirkan mengenai isu rasuah, semua agensi penguat kuasa turut berdepan dengan sentimen sama daripada masyarakat termasuk PDRM.

"Justeru itu, tindakan proaktif perlu diambil dengan mempromosikan pasukan berkenaan kepada anak muda terutama golongan Bumiputera supaya mereka berminat untuk menyertai badan beruniform terbabit," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan PDRM mengajak rakyat pelbagai kaum yang layak untuk mengisi 3,733 kekosongan jawatan dalam pasukan itu yang perlu diisi tahun depan.

Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk Zaini Jass dipetik berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 540 kekosongan perjawatan membabitkan pegawai kanan polis (Inspektor), Sarjan (250) dan Konstabel (2,943).

Katanya, kekosongan itu disebabkan persaraan dan menamatkan perkhidmatan secara pilihan berpunca faktor kesihatan.

Menurutnya, secara keseluruhan sehingga kini, PDRM mempunyai 127,000 anggota dan pegawai pelbagai pangkat.

Katanya, Jabatan Pengurusan PDRM turut membuat hebahan di balai-balai polis, selain mengarahkan ketua-ketua polis daerah seluruh negara untuk berhubung dengan persatuan masyarakat Cina, India dan kaum-kaum lain untuk menggalakkan belia dalam kalangan kelompok itu menyertai pasukan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 12:47 PM