KERATAN akhbar Harian Metro, 19 Mac lalu.
KERATAN akhbar Harian Metro, 19 Mac lalu.
Mohd Zaini Othman

TIDAK akan berkompromi dengan pegawai dan anggota polis yang tidak berintegriti dan menjejaskan maruah Polis Diraja Malaysia (PDRM), itu amaran keras Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, baru-baru ini yang menarik perhatian pelbagai pihak.

Beberapa hari sebelum itu, beliau mendedahkan secara terbuka akan kewujudan kartel dalam kalangan anggota dan pegawai PDRM bagi menguasai jawatan penting selain menjatuhkan pegawai atasan PDRM untuk kepentingan peribadi yang tidak baik.

"Saya mahu orang awam tahu, saya tahu apa yang mereka tahu mengenai kerja tidak elok dalam pasukan polis, perkara ini akan dibincang dengan Timbalan Ketua Polis Negara. Tiada masalah apabila bercita-cita untuk menjadi pengarah di Bukit Aman dan Ketua Polis Negara, yang tak sihat dan salah ada niat lain. Saya beri amaran untuk hentikan elemen dan pergaulan dengan tauke dadah, judi. Putuskan hubungan dengan mereka bagi jalankan tugas secara selesa tanpa diugut pihak lain," katanya.

Salah laku dalam kalangan anggota PDRM bukan suatu rahsia kerana melalui pendedahan di media massa, ada sahaja pelbagai kes jenayah berat yang dilaporkan seperti rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, penyeludupan dadah, pembabitan dengan kumpulan sindiket dan kongsi gelap serta pelacuran.

Pada pandangan masyarakat awam seperti penulis, sebagai sebuah badan beruniform utama yang menguatkuasa dan menegakkan undang-undang untuk melindungi keselamatan rakyat, perbuatan anggota PDRM yang 'lalai' ini pastinya ibarat harapkan pegar, pegar makan padi.

Walaupun hanya membabitkan segelintir anggota, tetapi seperti yang ditegaskan oleh Ketua Polis Negara, rakyat berhak mendapat khidmat yang adil, telus dan mesra dan tidak mahu berdepan situasi PDRM digunakan untuk mengugut orang yang tampil mendapatkan penjelasan dan menghukum mereka sewenang-wenangnya.

Dalam kecanggihan teknologi maklumat kini serta kewujuduan pelbagai medium komunikasi dan informasi dalam kalangan masyarakat, melalui pengamatan penulis ada sahaja berita mengenai kebaikan anggota polis ketika bertugas yang tersebar dan mendapat pujian.

Tetapi, pada masa sama, apabila berita yang tidak baik mengenai anggota polis ia lebih cepat panas!

Apabila berita seumpama ini lebih kerap disebar luas di media sosial walaupun ada antaranya tidak benar, ia tetap membangkitkan kemarahan dan konflik dalam kalangan rakyat yang terasa dianiaya, sekali gus sedikit demi sedikit menghakis kepercayaan terhadap pasukan polis. Keadaan kerana nila setitik rosak susu sebelanga mahupun dek kerana kerbau seekor habis sekampung terpalit lumpur ini yang ingin diperangi oleh Ketua Polis Negara.

Tindakan Abdul Hamid membuat pendedahan secara terbuka mengenai isu kartel ini walaupun dilihat orang luar daripada PDRM ibarat membuka pekung di dada, tetapi jika diteliti, ini ibarat amaran terakhir bos kepada anak buahnya sebelum diambil tindakan.

Ini juga bagi meningkatkan keyakinan rakyat pada PDRM bahawa polis tidak memilih 'bulu' dalam mengambil tindakan terhadap anggota mereka yang melakukan kesalahan.

"Saya sendiri sanggup berkongsi cerita yang tidak baik itu sebagai pengajaran kepada anak buah di bawah, selain memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa polis tidak bersekongkol melindungi kegiatan jijik ini".

Penulis senada dengan pendirian Ketua Polis Negara bahawa tindakannya mendedahkan budaya kutip duit dan ugutan oleh pegawai dan anggota kartel PDRM bertujuan menghapuskan budaya perosak dan mahu menjamin perkhidmatan polis berintegriti di negara ini. Beliau tidak berlapik apabila menyatakan bahawa budaya kartel PDRM dianggap mahu menghancurkan institusi kepolisan dan mengelakkan budaya Blue Code of Silent seperti di Amerika Syarikat dengan menutup segala kesalahan sesama pegawai polis menjadi satu norma kebiasaan dalam PDRM.

Pastinya, pendedahan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara membawa kepada persoalan ke mana akan berakhir kisah ini? Ada pihak yang menggesa beliau membawanya kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dan segelintir ahli politik menggesa ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Abdul Hamid memberi jaminan bahawa pegawai dan anggotanya yang terbabit sudah dikenal pasti dan ia akan diuruskan melalui tindakan dalaman yang akan diambil selepas ini.

Hakikatnya, gejala rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan seumpamanya boleh berlaku dalam mana-mana agensi penguat kuasa atau organisasi bukan berbentuk penguatkuasaan sekalipun. Kita sebagai rakyat perlu terus memainkan peranan menjadi mata-mata untuk melaporkan gejala tidak bermoral yang boleh memusnahkan negara kepada pihak berkuasa.

Penulis sendiri dan seluruh rakyat Malaysia masih mempunyai keyakinan dan kepercayaan yang tinggi kepada PDRM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan agensi penguatkuasaan yang lain dalam melaksanakan amanah berat yang dipertanggungjawab di bahu dan uniform yang disarung mereka.

Penulis Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 5:59 AM