ANGGOTA Rela dikenali sebagai pasukan yang bertugas dalam program one off seperti kawalan lalu lintas termasuk ketika majlis kenduri kahwin dalam masyarakat.
ANGGOTA Rela dikenali sebagai pasukan yang bertugas dalam program one off seperti kawalan lalu lintas termasuk ketika majlis kenduri kahwin dalam masyarakat.
Nurul Hidayah Bahaudin

Lazimnya, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dilihat sebagai pasukan beruniform yang bertugas mengawal lalu lintas pada acara tertentu termasuk majlis kenduri kahwin.

Namun seiring dengan peredaran masa, penugasan anggota Rela juga sudah semakin bercambah dengan diberikan tanggungjawab bersama agensi lain menjaga keselamatan dan kesejahteraan negara ini.

Peranan baharu itu sekali gus menyaksikan pemerkasaan tugas anggota RELA yang lebih kompetitif selari dengan pasukan beruniform lain.

Menjelang sambutan Hari Penubuhan Rela ke-51 yang bakal disambut pada esok, ikuti wawancara wartawan, NURUL HIDAYAH BAHAUDIN bersama Ketua Pengarah Rela, Datuk Yahya Sulaiman mengenai peranan pasukan beruniform terbabit.

Secara umumnya, persepsi orang ramai hanya melihat anggota Rela bertugas di lokasi majlis dan membuat kawalan lalu lintas. Boleh Datuk ulas mengenai penugasan anggota Rela?

Memang anggota Rela dikenali sebagai pasukan yang bertugas dalam program one off seperti kawalan lalu lintas termasuk ketika majlis kenduri kahwin dalam kalangan masyarakat.

Keberadaan anggota Rela pada mana-mana program atau majlis menimbulkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat bukan saja daripada segi aliran trafik yang lancar, malah keselamatan harta benda mereka terjamin.

Namun sekarang ini, penugasan Rela sudah bertambah dengan tugasan lain seperti kawalan keselamatan di bangunan kerajaan selain kolaborasi bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Kolaborasi bersama PDRM yang membabitkan beberapa jabatan iaitu Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) bagi penugasan kawalan sempadan bersama pihak Pasukan Gerakan Am (PGA) serta penugasan rondaan komuniti bersama PDRM dibawah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK). Kerjasama bersama PDRM ini adalah elemen sokongan bagi membantu menjaga keselamatan dan kesejahteraan negara.

Berdasarkan statistik, 51,700 anggota Rela terbabit dalam penugasan keselamatan di 1,052 lokasi di seluruh negara.

Jumlah itu sekali gus memperlihatkan peranan pegawai dan anggota Rela dalam masyarakat yang amat signifikan dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan negara ini.

Dalam beberapa kejadian, anggota Rela juga dikasari oleh orang ramai. Sebagai Ketua Pengarah Rela, apa perasaan Datuk apabila insiden sedemikian berlaku?

Pastinya saya ada rasa marah apabila anggota uniform bukan saja anggota Rela dikasari orang awam. Dalam kebanyakan kes, anggota yang 'diserang' orang awam ini mempunyai tahap kesabaran serta kesedaran yang tinggi dengan tidak melawan.

Ini kerana anggota kami faham bahawa mereka sedang melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang memerlukan mereka sabar dengan kerenah orang ramai.

Ada yang pernah diserang ketika bertugas?

Ada insiden serangan orang ramai terhadap anggota Rela bertugas berlaku di depan mata saya di sebuah pusat pemberian vaksin membabitkan individu mengasari anggota bertugas apabila diminta beratur.

Dalam kes sebegini, individu terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Kanun Keseksaan kerana anggota Rela semasa menunaikan tugas disifatkan sebagai penjawat awam seperti yang tertakluk di bawah Bahagian V, Seksyen 17 dan Bahagian IV, Seksyen 25 Akta Pasukan Sukarelawan (Akta 752).

Justeru, saya menasihatkan orang ramai supaya memberi kerjasama kepada anggota Rela yang menjalankan tugas bagi melancarkan program atau majlis selain menjaga keselamatan di lokasi mereka ditugaskan.

Ada yang mendakwa bahawa menyertai Rela hanya sebagai pilihan terakhir untuk menyertai badan beruniform dan pasukan keselamatan. Apa pandangan Datuk berhubung pandangan itu?

Apabila ada individu yang memilih untuk menyertai Rela tidak kira sebagai pilihan terakhir atau sebaliknya, ia adalah sesuatu yang membanggakan.

Berdasarkan statistik, kita mendapati terdapat peningkatan jumlah permohonan sebagai anggota Rela terutama dalam kalangan golongan belia berusia 40 tahun ke bawah bagi tempoh 2021 sehingga kini.

Golongan belia ini mencatatkan jumlah tertinggi iaitu kira-kira 60 peratus daripada lebih 150,000 anggota Rela yang aktif di seluruh negara.

Peningkatan permohonan dalam kalangan golongan ini didorong dengan pertambahan penugasan Rela yang pelbagai sekali gus mendorong mereka mahu merasai pengalaman menyertai pasukan ini.

Apa yang kita mahukan adalah golongan belia mengambil semangat dalam menjalankan tugas daripada rakan setugas senior supaya agensi ini kekal relevan.

Apakah hasrat Datuk untuk memantapkan Rela pada masa akan datang termasuk daripada aspek pendedahan bentuk penugasan baharu?

Visi kita adalah untuk meningkatkan kecekapan dan keberhasilan kerja dalam kalangan anggota dan pegawai Rela bagi membolehkan mereka menyampaikan khidmat kepada masyarakat dengan cemerlang.

Apabila semakin banyak penugasan baharu Rela, ia sekali gus akan mewujudkan lebih banyak kepakaran dalam kalangan anggota dan pegawai yang boleh dimanfaatkan pasukan.

Kita paling bangga dengan semangat anggota di lapangan yang kita sifatkan sebagai terbaik. Mereka menunjukkan semangat jitu ketika bertugas sekali gus mendapat kepercayaan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 8:00 AM