Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan Selangor hari ini membentangkan Belanjawan 2023 berjumlah RM2.45 bilion.

Ia merangkumi RM1.25 bilion atau 51 peratus peruntukan bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM1.2 bilion atau 49 peratus bagi Perbelanjaan Pembangunan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Negeri Selangor berkata, mengambil kira jangkaan Hasil Negeri yang berjumlah RM2 bilion dan anggaran perbelanjaan berjumlah RM2.45 bilion, Belanjawan 2023 mengalami defisit berjumlah RM450 juta.

Katanya, defisit yang lebih tinggi berbanding tahun 2022 adalah bagi persediaan pengurusan bencana akibat perubahan iklim serta penyediaan peruntukan pembangunan yang substantif untuk memenuhi keperluan pembangunan mapan negeri.

"Antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun 2023 adalah Premium Tanah iaitu sebanyak RM753.72 juta bersamaan 38 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan.

"Penyumbang kedua terbesar adalah hasil cukai tanah iaitu sebanyak RM570.51 juta bersamaan 29 peratus manakala penyumbang ketiga terbesar adalah daripada Pemberian Persekutuan iaitu berjumlah RM214.81 juta bersamaan 11 peratus," katanya pada pembentangan Belanjawan Selangor 2023, hari ini.

Amirudin berkata walaupun melaksanakan Belanjawan Defisit sejak lima belanjawan lalu, kerajaan Selangor sentiasa berjaya mengurangkan jumlah defisit kepada satu jumlah yang munasabah menerusi instrumen kawalan perbelanjaan serta amalan prinsip tadbir urus kewangan yang baik.

Katanya, belanjawan itu menggariskan lima teras utama iaitu mengukuhkan pertumbuhan ekonomi, membudayakan perpaduan dan masyarakat penyayang, pendidikan dan pembangunan generasi masa depan, kehidupan lestari dan sejahtera dan tadbir urus cekap dan bertanggungjawab.

Beliau berkata, walaupun berhadapan dengan situasi ekonomi yang mencabar di peringkat antarabangsa mahupun peringkat nasional, kedudukan kewangan Selangor di dalam Kumpulan Wang Disatukan adalah kukuh dan stabil.

Katanya, sehingga 31 Disember 2021, rizab Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri Selangor yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan merekodkan angka sebanyak RM2.803 bilion.

"Bagi tahun 2022 pula, sehingga 24 November, kedudukan kewangan negeri terus meningkat sebanyak RM490.54 juta. Ini menjadikan rizab negeri semasa sebanyak RM3,294.35 juta yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM980.55 juta dan Akaun Amanah Disatukan berjumlah RM2,313.80 juta.

"Dengan sentiasa mengamalkan pendekatan perbelanjaan yang berhemah, prestasi kewangan kerajaan negeri sehingga 24 November merekodkan lebihan kewangan sebanyak RM261.24 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 6:34 PM