Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan Kelantan membentangkan Belanjawan 2021 dengan defisit sebanyak RM66.02 juta berbanding RM46.07 juta tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, Belanjawan 2021 yang bertemakan 'Berkat Perpaduan, Kelantan Sejahtera' itu menyaksikan peningkatan defisit sebanyak RM19.95 juta.

Katanya, walaupun setiap tahun anggaran belanjawan negeri mencatatkan defisit, namun untuk tiga tahun berturut-turut, kerajaan negeri mencatatkan perbelanjaan sebenar yang surplus iaitu RM38.2 juta pada 2017, surplus RM40.4 juta untuk 2018 dan surplus RM445.69 juta pada 2019.

"Prestasi kewangan negeri tahun ini juga dijangka dapat mengurangkan jumlah defisit semasa hasil daripada kerajaan negeri berbelanja secara berhemat dan mengikut keutamaan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Kelantan 2021 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri menganggarkan perolehan hasil sebanyak RM1.02 bilion, manakala perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.09 bilion.

"Peruntukan pembangunan pada tahun hadapan berjumlah 419.29 juta yang dibiayai kerajaan negeri manakala RM60 juta daripada sumber pinjaman.

"Anggaran hasil 2021 meliputi hasil cukai, bukan cukai dan terimaan bukan hasil menunjukkan peningkatan sebanyak RM274.96 juta berbanding anggaran hasil 2020 sebanyak RM748.71 juta.

"Hasil tanah kekal menjadi penyumbang terbesar dengan RM354.95 juta atau 34.77 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM46.56 juta atau 15.05 peratus berbanding tahun lalu RM309.39 juta," katanya.

Ketika membentangkan belanjawan berkenaan, Ahmad berkata, anggaran perbelanjaan mengurus 2021 berjumlah RM1.09 bilion, meningkat RM294.92 juta atau 37.11 peratus berbanding tahun lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM708.5 juta untuk pemberian dan kenaan tetap, emolumen (RM191.08 juta); perkhidmatan dan bekalan (RM142.98 juta); aset (RM4.43 juta) dan RM4.43 juta untuk perbelanjaan lain.

"Kerajaan negeri memperuntukkan RM136 juta bagi tujuan pendidikan. Daripada jumlah itu, RM121 juta diperuntukkan kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK), RM4 juta untuk pembangunan dan penyelenggaraan sekolah dan RM8 juta untuk pendidikan prasekolah," katanya.

Ahmad turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas hubungan kerjasama yang baik bagi memastikan rakyat di Kelantan mendapat manfaat dalam apa sahaja program pembangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 2:00 PM