Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Perbincangan Khas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja-Raja Melayu di Istana Negara di sini, hari ini selesai selepas kira-kira satu jam berlangsung.

Bagaimanapun, perbincangan itu tidak dihadiri Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Al-Sultan Abdullah berkenan berbincang dengan Raja-Raja Melayu sebagai usaha merungkai kemelut pembentukan kerajaan baharu serta perlantikan Perdana Menteri ke-10.

Kenderaan pertama dilihat keluar meninggalkan Istana Negara adalah yang membawa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 11.57 pagi, diikuti kenderaan yang membawa Raja Melayu yang lain sehingga 1.08 tengah hari.

Istana Negara hari ini sekali lagi menjadi tumpuan utama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin dipetik berkata, perbincangan khas itu bertujuan membolehkan Yang di-Pertuan Agong mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu dalam membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10.

Perbincangan dengan Raja-Raja Melayu itu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap wakil pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pagi, semalam.

Semalam, tiga wakil pimpinan tertinggi BN dan empat pimpinan kanan GPS hadir ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya 30 Ahli Parlimen BN menghadap baginda jam 10.30 pagi semalam, namun mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi memutuskan memohon penangguhan kedua daripada Istana Negara untuk sesi menghadap semua Ahli Parlimen berkenaan.

Kelmarin, baginda mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas kedua-duanya gagal menerima sokongan majoriti mudah 112 Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 2:53 PM
KENDERAAN yang membawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat pulang selepas menghadiri perbincangan Khas Raja-Raja Melayu sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merungkai kemelut pembentukan kerajaan di Istana Negara. FOTO Aizuddin Saad
KENDERAAN yang membawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat pulang selepas menghadiri perbincangan Khas Raja-Raja Melayu sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merungkai kemelut pembentukan kerajaan di Istana Negara. FOTO Aizuddin Saad