Mohd Roji Kawi


Kuching: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berharap kestabilan dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini kekal sehingga tamat penggal Parlimen sekarang.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan tertubuh hasil kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyelesaikan kemelut politik negara sedikit masa dahulu.

Justeru katanya, semua pihak tidak harus mensia-siakan harapan Baginda tetapi terus membawa rakyat untuk bersatu padu untuk membina Malaysia yang lebih utuh dan gemilang.

"Janganlah kita lupa bahawa kestabilan yang ada sekarang di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan adalah hasil kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong.

"Saya amat berharap dan berdoa supaya kestabilan dalam Kerajaan Perpaduan ini kekal sehingga tibanya Pilihan Raya Umum yang seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia yang dihadiri tetamu utama, Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nasar dan isteri, Puan Sri Fatimah Mohd Iskandar di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Abang Johari Abang Openg serta dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Turut memeriahkan sambutan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selain semua menteri kabinet Persekutuan dan Sarawak.

Abang Johari berkata, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, baharu sahaja selesai mencemar duli mengadakan Kembara Kenali Borneo yang bermula pada 8 September di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak pada13 September.

"Baginda berdua mengambil masa 11 hari untuk bergerak dari hujung sebelah Utara ke hujung sebelah Selatan Malaysia di Pulau Borneo dengan jarak lebih 2,000 kilometer.

"Sepanjang perjalanan baginda berdua jelas sekali kelihatan bahawa sambutan rakyat tidak mengira bangsa atau keturunan sungguh luar biasa," katanya.

Menurutnya lagi, beliau amat percaya sambutan rakyat jelata yang cukup meriah dan mesra terhadap Baginda berdua menunjukkan mereka menyanjung tinggi institusi Yang Di-Pertuan Agong sebagai faktor penyatuan rakyat pelbagai bangsa, agama dan budaya di Sabah dan Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.

"Justeru kita tidak harus lupa bahawa kerajaan Persekutuan sekarang adalah hasil kebijaksanaan Baginda dan menjadi tanggungjawab kita mengekalkan kerajaan Baginda itu," katanya.

Selain itu, beliau turut mengharapkan rakyat Malaysia sama ada yang tinggal di Semenanjung, Sarawak atau Sabah harus berhenti berdebat berhubung tarikh kemerdekaan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia.

Beliau berkata, sebaliknya fokus haru diberikan kepada usaha penyatuan wilayah dan mengukuhkan perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama.

Menurutnya lagi, selepas 60 tahun pembentukan Malaysia, tumpuan juga harus diberikan sepenuhnya kepada usaha pembangunan dilaksanakan sama rata di setiap wilayah.

"Tidak perlulah kita berdebat panjang lebar mengenai tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh Tanah Melayu merdeka iaitu enam tahun lebih awal sebelum pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

"Kedua-kedua tarikh itu saling berkait dari segi kepentingannya kepada kewujudan negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 10:21 PM