Essa Abu Yamin


Muar: Dua buah kampung di Parit Kedondong Laut dan Parit Jawa dekat sini dilanda banjir akibat fenomena air pasang besar di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung fenomena air pasang besar pada jam 10 pagi selepas tular satu video berdurasi 43 saat di media sosial.

"Video berkenaan memaparkan dakwaan beberapa kawasan sudah dinaiki air disebabkan banjir.

"Hasil pemantauan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penghulu kampung mendapati kejadian berlaku di Parit Kedondong Laut dan Parit Jawa," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dua lokasi berkenaan berada kira-kira 2 meter dari pantai dan pemantauan mendapati air naik kerana fenomena air pasang pada jam 8 pagi dan mula surut bermula jam 10 pagi.

"Tiada penduduk dipindahkan akibat fenomena berkenaan.

"Berdasarkan maklumat daripada Facebook Jabatan Meteorologi Malaysia, penumpuan angin dijangka berlaku di Semenanjung sehingga Khamis yang boleh mengakibatkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang terutama di sebelah pagi," katanya.

Katanya, pihak polis dan APM sentiasa dalam keadaan siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan serta memberi bantuan yang diperlukan.

KEADAAN banjir kilat yang melanda SK Tapak. Foto Ihsan APM
KEADAAN banjir kilat yang melanda SK Tapak. Foto Ihsan APM

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 5:50 PM