Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Fenomena air pasang besar yang melanda kawasan Kuala Kedah hari ini menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.

Tinjauan di sekitar kawasan Kuala Kedah mendapati air laut melimpah ke jalan raya malah turut memasuki premis perniagaan sekitar bermula jam 12.30 tengah hari.

Penduduk di Taman Seri Putra, Intan Rashidah Ahmad, 35, berkata fenomena air pasang besar sering berlaku di kawasan itu menyebabkan mereka terpaksa melakukan persediaan dengan mengangkat barangan berharga ke tempat selamat.

Katanya, biasanya air laut akan naik dengan cepat dan dalam tempoh 10 minit sudah memenuhi dalam rumah.

"Kami selamatkan kereta dan motosikal terlebih dahulu selain barangan perabot atau elektrik ke tempat selamat," katanya ketika ditemui hari ini.

Ketua Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata fenomena air pasang besar melanda negeri ini selama tiga hari bermula semalam sehingga esok.

FENOMENA air pasang besar menyebabkan kawasan Kuala Kedah dinaiki air. FOTO Zuliaty Zulkiffli
FENOMENA air pasang besar menyebabkan kawasan Kuala Kedah dinaiki air. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Beliau berkata, paras air dipercayai meningkat setinggi 2.9 meter pada jam 1 petang hari ini dan dijangka surut sejam kemudian malah fenomena air pasang ini akan sama berlaku esok.

"Pemantauan kita hari ini dilakukan di sekitar kawasan Kuala Kedah dan Tanjung Dawai di Kuala Muda.

"Namun ada lima lokasi yang menjadi tumpuan iaitu Kuala Jerlun di Kubang Pasu, daerah Kuala Muda, Kuala Sala dan Kuala Yan di Yan, Kuala Kedah serta Langkawi yang dijangka terjejas akibat fenomena air pasang ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Saifuddin berkata, fenomena air pasang besar ini boleh mengakibatkan banjir sekiranya disertai hujan, ribut dan angin kencang yang boleh menyebabkan air meningkat dengan cepat.

Beliau menasihatkan penduduk di sekitar kawasan rendah berhampiran pantai atau laut supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan bersiap sedia untuk berpindah sekiranya air naik mendadak.

"Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar turut melakukan pemantauan di sekitar kawasan Kuala Kedah untuk memastikan penduduk dalam keadaan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 2:58 PM