Aizat Sharif


Kangar: Fenomena air pasang besar yang berlaku sejak Khamis lalu mula melanda negeri Perlis apabila beberapa kawasan di Kuala Perlis dan Sanglang dibanjiri limpahan air laut.

Tinjauan di sekitar Pekan Kuala Perlis mendapati air laut mulai melimpah membanjiri sekitar kawasan Kuala Perlis dan Sanglang bermula dari 12 tengah malam dan fenomena berkenaan berlaku hampir satu jam 30 minit.

Limpahan air laut itu kemudian menyebabkan berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan di Kuala Perlis dan Sanglang di mana paras banjir kilat direkodkan sekitar 0.25 meter (m) hingga 0.3 m.

Antara kawasan yang mengalami banjir kilat akibat fenomena berkenaan adalah sekitar laluan pesisiran pantai Kuala Perlis, Pekan Kuala Perlis, Kampung Seberang Ramai, persimpangan lampu isyarat Jalan Kampung Perak dan Persiaran Putra Timur.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan rondaan secara kerap dan memantau fenomena berkenaan dari semasa ke semasa.

"Berdasarkan pemantauan kami, fenomena ini dijangka berlaku selama empat hari bermula Khamis lalu bermula 12 tengah malam berlarutan selama satu hingga satu setengah jam.

"Bacaan air laut sekitar jam 1.06 pagi tadi mendapati ia berada pada paras 3.6 m dan semalam adalah agak tinggi berbanding 3.5 m dan 3.3 m pada dua hari sebelumnya di mana fenomena air pasang ini direkodkan.

"Lazimnya paras laut yang normal direkodkan pada hari biasa sekitar waktu berkenaan adalah di bawah paras tiga m," katanya.

ANTARA kawasan terjejas akibat fenomena air pasang besar di Perlis. FOTO Aizat Sharif
ANTARA kawasan terjejas akibat fenomena air pasang besar di Perlis. FOTO Aizat Sharif

Beliau berkata, berhubung perkembangan berkenaan pihaknya akan sentiasa memantau keadaan air pasang berdasarkan jadual air laut pasang dan sentiasa bersedia sekiranya fenomena berkenaan bertembung dengan keadaan hujan lebat.

Kejadian semalam bagaimanapun tidak membawa kepada pemindahan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS) Banjir disebabkan banjir kilat yang berlaku itu surut kira-kira antara satu hingga dua jam kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 8:36 AM