Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: "Saya minta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sediakan peruntukan khas untuk kerja baik pulih bagi beberapa jalan yang rebak di sepanjang Sungai Kajang," kata Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar ketika mengulas fenomena air laut pasang besar yang melanda kawasan Parlimen itu.

Beliau berkata, hasil pemantauan mendapati Jalan Bagan Sungai Kajang antara yang mengalami kesan hakisan ekoran dilanda ombak.

Menurutnya, perkara itu harus diatasi bagi memastikan penduduk tidak terputus hubungan akibat kerosakan jalan yang serius.

Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar.
Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar.

"Sudah tentu hakisan ombak mengakibatkan jalan rosak dan memberi kesan kepada rumah nelayan yang kebanyakannya dibina di kawasan ini.

"Kita turut bimbang sekiranya benteng pecah, air laut akan melimpah masuk ke kebun yang boleh menyebabkan hasil pertanian dan ternakan terjejas," katanya.

Noh berkata, beliau turut mencadangkan JPS membina batu konkrit di sepanjang Pantai Sungai Kajang yang ketika ini menjadi tumpuan pengunjung pada waktu petang terutama hujung minggu.

"Sebelum ini, kita pernah meletakkan batu konkrit di pesisir pantai dan berharap ia dapat ditambah lagi bagi menghalang hakisan ombak," katanya.

Keadaan jalan menghubungkan Kuala Selangor ke Pasir Penambang dinaiki air susulan fenomena air laut pasang besar. FOTO IHSAN PEMBACA
Keadaan jalan menghubungkan Kuala Selangor ke Pasir Penambang dinaiki air susulan fenomena air laut pasang besar. FOTO IHSAN PEMBACA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 2:37 PM