Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Perundingan pembentukan kerajaan baharu tidak boleh membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Ahmad Zahid tiada lagi keabsahan moral selaku Presiden UMNO dan mesti mengundur diri segera.

"Beliau mungkin Presiden pada nama tetapi tiada kuasa moral yang tinggal untuk buat keputusan bagi pihak UMNO," tulisnya menerusi hantaran di Facebook (Fb) tadi.

Menerusi hantaran sama, Khairy turut menyatakan persoalan 'Kenapa sekarang baru nak bersuara?' dan 'Kau kalah tak payah komen' berserta jawapan kepada mereka yang mungkin mempersoalkan tindakannya.

"2018 saya lawan Zahid untuk Presiden UMNO. Lepas tu banyak kali cakap dia kena beri laluan.

"Saya masih ahli UMNO. Ahli UMNO ada hak bersuara," tulisnya.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menyaksikan Khairy, penyandang Parlimen Rembau tewas kepada Datuk R. Ramanan yang meraih kemenangan sekaligus mempertahankan kerusi Pakatan Harapan (PH) di Sungai Buloh dalam pertembungan tujuh penjuru.

R. Ramanan menang di kerusi itu dengan 50,943 undi, manakala Khairy (48,250 undi) menjadikan majoriti 2,693 undi.

Pada PRU-14, kerusi Parlimen Sungai Buloh dimenangi oleh R Sivarasa daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 26,634.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 4:11 PM