GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Seramai 3,962 penjawat awam di Pulau Pinang akan menerima bayaran bantuan khas kewangan (BKK) setengah bulan gaji atau minimum RM1,000.

Berita gembira itu diumumkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow ketika membentangkan Belanjawan 2022 Pulau Pinang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun), di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, bayaran bonus itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM5.59 juta dan pembayarannya akan dibuat pada akhir tahun ini.

"Adalah diharapkan dengan bantuan khas ini dapat meningkatkan semangat penjawat awam di negeri ini bagi memberikan perkhidmatan cemerlang pada tahun akan datang.

"Terima kasih atas khidmat dan sokongan semua yang masih menunjukkan prestasi yang membanggakan walaupun terpaksa bekerja dalam tekanan dan cabaran mendepani wabak Covid-19," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri terus menghargai dan berterima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan semua agensi sama ada di peringkat pusat mahupun negeri dalam usaha menangani penularan Covid-19 sehingga berjaya membawa Pulau Pinang memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, penyelia dan guru Kafa, guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, guru Sekolah Menengah Agama Rakyat dan Staf Sekolah Persendirian Cina akan menerima pembayaran bantuan RM300 seorang.

"Manakala guru tahfiz, guru sekolah pondok dan guru tadis akan menerima pembayaran bantuan sebanyak RM200 seorang dengan jumlah perbelanjaan membabitkan RM940,600 yang pembayarannya juga akan dibuat pada akhir tahun ini.

"Pembayaran bantuan ini adalah dilakukan sama seperti tahun sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 5:44 PM