Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BERSATU menyifatkan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang meluluskan usul pengisytiharan kekosongan kerusi membabitkan mereka bukan perkara yang mengejutkan.

Bekas ADUN Bertam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, berkata pihaknya akur dengan tindakan Speaker Datuk Law Choo Kiang yang mengarahkan kesemua ADUN terbabit meninggalkan dewan.

"Kami terpaksa terima keputusan ini lagipun apabila ada undian... jika diikutkan secara logiknya memang kami akan kalah. Kalau ada yang menyokong, yang rasa kami betul pasti ada kemungkinan mereka akan dipecat.

"Jadi tidak mengapalah kami terpaksa menerima perkara ini walaupun perit tetapi insya-Allah kami akan kembali dengan lebih besar dan lebih kuat," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan DUN Pulau Pinang hari ini.

Tiga lagi ADUN terbabit ialah Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) dilihat beredar meninggalkan dewan secara aman.

Terdahulu DUN Pulau Pinang meluluskan usul pengisytiharan kekosongan empat kerusi ADUN BERSATU berkenaan di bawah Fasal 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

(dari kiri)Zolkifly, Dr Afif, Zulkifli Ibrahim dan Khaliq Mehtab meninggalkan sidang DUN Pulau Pinang selepas usul supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing diluluskan di Dewan Undangan Negeri, Lebuh Light, Georgetown di sini, Mac lalu. FOTO Arkib NSTP/MIKAIL ONG
(dari kiri)Zolkifly, Dr Afif, Zulkifli Ibrahim dan Khaliq Mehtab meninggalkan sidang DUN Pulau Pinang selepas usul supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing diluluskan di Dewan Undangan Negeri, Lebuh Light, Georgetown di sini, Mac lalu. FOTO Arkib NSTP/MIKAIL ONG

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 4:56 PM