PERGERAKAN aliran penumpang domestik di KLIA mulai meningkat susulan ramai yang pulang ke kampung halaman bagi menjalankan tanggungjawab mengundi sempena PRU-15. FOTO Bernama
PERGERAKAN aliran penumpang domestik di KLIA mulai meningkat susulan ramai yang pulang ke kampung halaman bagi menjalankan tanggungjawab mengundi sempena PRU-15. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pergerakan aliran penumpang di tiga hab pengangkutan utama di sini, mulai meningkat sejak tengah hari ini menjelang dua hari lagi hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Sabtu ini.

Tinjauan Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendapati sembilan kaunter daftar masuk yang dibuka sibuk mengendalikan penumpang yang beratur sejak pagi untuk laluan ke Kota Kinabalu (Sabah), Langkawi dan Alor Setar (Kedah), Kuching (Sarawak) dan Pulau Pinang.

Malaysia Airlines Berhad (MAS) dalam kenyataan memaklumkan bagi memudahkan pergerakan puncak, pihaknya turut akan mengaktifkan Pelan Pemulihan Perkhidmatan termasuk menempatkan sukarelawan MH Rangers bagi membantu operasi di pusat pengendalian bagasi dan kaunter daftar masuk.

Dalam masa sama, MAS menasihatkan penumpang yang pulang untuk PRU-15 agar tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya empat jam lebih awal daripada waktu pelepasan untuk memberi masa mencukupi bagi proses daftar masuk dan pemeriksaan dokumen yang diperlukan.

"Penumpang juga digalakkan untuk mendaftar masuk melalui laman sesawang dan aplikasi mudah alih untuk mempercepatkan proses," menurut kenyataan itu.

MAS sebelum ini memaklumkan ia akan menambah bilangan penerbangan kepada 44 daripada 26, dan menaik taraf 24 daripada 16 perkhidmatan domestiknya menggunakan pesawat A330 bagi menampung potensi penambahan jumlah penumpang menjelang PRU15.

Di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), orang ramai turut didapati beratur panjang untuk membeli tiket bas dengan destinasi ke Kota Bharu (Kelantan) dan Kuala Terengganu (Terengganu), paling laris terjual.

Pengurus Kanan Operasi TBS Faizal Redza Redzuan berkata pihaknya menjangkakan lebih 23,000 penumpang termasuk pelajar institusi pengajian tinggi akan berlepas dari terminal itu secara berperingkat mulai hari ini.

Di stesen Kuala Lumpur Sentral pula, pintu masuk perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) ke beberapa destinasi seperti Ipoh (Perak), Butterworth (Pulau Pinang), Padang Besar (Perlis) dan Kota Bharu (Kelantan) mulai dipenuhi penumpang.

Terdapat beberapa kakitangan KTMB dan polis bantuan juga ditugaskan di pintu masuk berkenaan untuk membantu kelancaran aliran pergerakan penumpang.

Sementara itu, beberapa pengundi yang ditemui menyatakan mereka lebih rela pulang awal ke kampung halaman bagi mengelakkan kesesakan di hab-hab pengangkutan berkenaan.

Jefezieziemiora Jenuil, 21, antaranya berkata, dia bimbang ramai penumpang mendaftar masuk serentak di KLIA pada satu-satu masa, justeru sentiasa bersiap menghadapi sebarang kemungkinan.

"Ini kali pertama saya mengundi untuk Parlimen Pensiangan, sudah tentu tidak mahu terlepas seperti rakan-rakan untuk mengambil pengalaman memilih calon yang bertanding," kata gadis berasal dari Kampung Sook,Keningau, Sabah itu.

Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Muhammad Helmi Emli Faizul, 19, pula berkata, dia pulang ke Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini dengan tiket yang dibelinya sejurus tarikh pengundian diumumkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 5:15 PM