TINJAUAN orang ramai di Terminal Bersepadu Selatan berikutan orang ramai pulang ke kampung halaman untuk mengundi sempena Pilihanraya Umum ke-15. FOTO Aziah Azmee
TINJAUAN orang ramai di Terminal Bersepadu Selatan berikutan orang ramai pulang ke kampung halaman untuk mengundi sempena Pilihanraya Umum ke-15. FOTO Aziah Azmee
Izzati Zaidi


Kuala Lumpur: Tiket bas perjalanan ke laluan utara dan timur habis terjual manakala ke laluan selatan hanya berbaki 13 peratus sahaja berikutan orang ramai mahu pulang mengundi ke kampung masing masing sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengumuman kerajaan memberi hari kelepasan am pada 18 dan 19 November memudahkan lagi orang awam untuk mengambil cuti dan pulang mengundi.

Pengarah Urusan Maju Tmas Sdn Bhd, Datuk Roslan Shariff berkata, berikutan pengumuman kerajaan itu, pihaknya mengambil insiatif menambah tiket perjalanan bagi menampung permintaan saat akhir.

"Lebih kurang 4,000 sehingga 5,000 tiket bas ditambah manakala 20 syarikat bas juga meningkatkan jumlah perjalanan bagi menampung kapasiti jumlah orang awam yang menaiki bas.

"Bagaimanapun, setakat ini kebanyakan tiket sudah habis dijual menyebabkan pembelian tiket agak terhad kecuali laluan Selatan yang masih berbaki dalam lingkungan 13 peratus," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, pergerakan penumpang setakat semalam, hampir 70 peratus pelajar Institusi Pelajaran Tinggi (IPT) dan menjangkakan lebih 23,000 penumpang akan berlepas pada hari ini.

"Pergerakan sedikit sesak bermula lewat petang memandangkan sebanyak 19, 819 orang penumpang berlepas semalam dan pada hari ini dianggarkan lebih 900 perjalanan akan berlepas dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS)," katanya.

Tambahnya lagi, bilangan penumpang pada 18 November adalah paling ramai iaitu sebanyak 25,000 penumpang dan sebanyak 930 trip yang ada untuk dihantar ke destinasi masing-masing.

"Orang ramai dinasihati untuk hadir ke TBS sekurang-kurangnya satu jam sebelum berlepas untuk penukaran pas masuk," katanya.

Tinjauan di TBS turut mendapati orang awam terutama sekali pelajar IPT sudah memenuhi lobi TBS setakat jam 1 tengahari.

Bagi pelajar semester satu, Nur Wahida Jamuei, dia bersyukur kerana sempat membeli tiket untuk pulang ke kampung halamannya di Gurun, Kedah sempena PRU-15.

"Saya sudah beli tiket dalam talian sejak dua minggu lalu kerana tiket memang cepat habis. Ada antara kawan yang tidak sempat untuk beli tiket," katanya.

"Saya teruja untuk pulang mengundi memandangkan ini adalah kali pertama terbabit dalam pemilihan pucuj pimpinan negara," katanya.

Manakala bagi pelajar Universiti Malaya, A Sara, 19, turut rasa teruja dengan pembabitan golongan muda

dalam PRU-15 ini.

"Saya sudah beli tiket bas pulang ke Gelang Patah, Johor minggu lalu bagi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia dan sekali gus in memanfaatkan sepenuhnya cuti lima hari yang diberi kepada pelajar," katanya.

Sementara itu, pihak KTMB berkata, terdapat tiga tambahan tren pada 19 November memandangkan hari mengundi jatuh pada hari Sabtu.

"Kami percaya akan ada peningkatan jualan di saat-saat akhir, justeru itu, dianggarkan penambahan peratusan jualan tiket kereta api ETS pada hari Sabtu adalah sebanyak 52% berbanding minggu sebelumnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 4:16 PM