GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) meminta kerjasama semua pihak untuk mengelakkan sebarang kerja pengorekan tanah pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Sabtu ini bagi menghindari kemungkinan gangguan elektrik akibat kerosakan kabel.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, TNB juga menangguhkan kerja-kerja sedemikian mulai semalam di samping memberikan tumpuan bagi memastikan kestabilan bekalan sepanjang PRU-15, khususnya pada malam keputusan pilihan raya.

"Nasihat kami agar kerja-kerja pengorekan ini ditangguhkan dahulu dan jika tidak dapat dielakkan, patuhilah semua prosedur dan tatacara yang ditetapkan agar kita sama-sama dapat mengurangkan risiko gangguan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Nazmy berkata, sehingga kini pihaknya membuat persiapan bagi memastikan bekalan elektrik di kesemua 6,623 pusat mengundi dan 165 pusat penjumlahan rasmi undi di seluruh Semenanjung dalam keadaan baik pada hari pengundian.

Menurutnya, TNB turut melakukan persiapan awal dalam usaha memastikan aspek teknikal, operasi dan tunggu-sedia bekalan elektrik ke lokasi-lokasi berkenaan sentiasa terjamin.

"Kami juga telah menempatkan pasukan-pasukan petugas bagi memantau dan menunggu sedia untuk lokasi-lokasi penting PRU-15," katanya.

Katanya, TNB juga mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap negeri bagi mendapatkan maklum balas perincian keperluan elektrik di kesemua pusat mengundi serta penjumlahan undi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 2:39 PM