LIMA lelaki warga asing ditahan pecah stor simpanan kabel di Banting. FOTO IHSAN IPD KUALA LANGAT
LIMA lelaki warga asing ditahan pecah stor simpanan kabel di Banting. FOTO IHSAN IPD KUALA LANGAT
Norzamira Che Noh


Kuala Langat: Lima lelaki warga asing ditahan dipercayai terbabit dalam jenayah pecah stor simpanan kabel di Banting dekat sini, Sabtu lalu, lapan jam selepas melakukan jenayah itu.

Kesemua suspek warga Kemboja dan Indonesia berusia antara 33 hingga 51 tahun ditahan sekitar Banting antara jam 2.20 hingga 5.10 petang.

Kumpulan itu dipercayai melakukan jenayah berkenaan pada 9 pagi, hari sama.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, polis menerima laporan daripada peniaga lelaki berusia 40 tahun memaklumkan stor simpanan kabelnya di Banting dipecah masuk pencuri.

"Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki di Banting sebelum soal siasat membawa kepada penangkapan empat lagi rakan suspek di sekitar lokasi sama.

"Kita turut merampas tiga guni berisi gumpalan kabel tembaga dibakar, lima gulungan kabel pelbagai warna dan dua batang kabel tembaga dianggarkan bernilai RM20,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, polis turut merampas kereta Perodua Kancil, selain dua motosikal curi yang mana salah satunya dilaporkan hilang di Sepang pada 5 Februari lalu.

"Siasatan turut mendapati kumpulan suspek ini aktif sejak dua bulan lalu.

"Semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah.

"Mereka kini direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 4:36 PM