PENGGUNA LRT dilihat di hadapan pintu masuk stesen LRT KL Sentral yang ditutup sementara susulan masalah teknikal. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PENGGUNA LRT dilihat di hadapan pintu masuk stesen LRT KL Sentral yang ditutup sementara susulan masalah teknikal. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Pengguna Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu negara mula merancang alternatif lain untuk pulang ke rumah dan ke tempat kerja esok pagi, susulan kekerapan kerosakan dan gangguan perkhidmatan pengangkutan awam itu.

Tinjauan di Twitter dalam ruangan komen di hantaran mengenai gangguan perkhidmatan LRT oleh Rapid KL, mendapati ada yang menawarkan kenderaan masing-masing kepada pengguna yang terkandas di stesen LRT.

Malah, ada juga yang mula mencari mana-mana individu yang sanggup berkongsi kereta untuk ke tempat kerja esok pagi kerana khuatir perkhidmatan LRT terganggu sekali lagi.

Mereka dilihat terpaksa mencari alternatif berkenaan kerana tidak sanggup menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk pulang dan ke tempat kerja jika perkhidmatan LRT terjejas, kerana kadar bayarannya yang berganda berbanding tambang LRT.

Pengguna Twitter, Puteri N Balqis antaranya menawarkan kenderaannya untuk tiga individu yang mahu menuju ke kawasan sekitar stesen KL Sentral dari stesen LRT Wangsa Maju esok pagi, khususnya bagi mereka yang bimbang perkhidmatan LRT mungkin tergendala esok.

"Ada tiga kekosongan tempat duduk. Kalau nak tumpang, boleh maklumkan. Aku faham serabut nak pergi kerja tapi tak ada pengangkutan," katanya.

Pengguna Twitter yang menggunakan nama Intan, sedia menumpangkan pengguna LRT yang terkandas dan mahu pulang ke kawasan sekitar Setiawangsa dari Petaling Jaya, hari ini.

"Saya pandu dari Petaling Jaya (LRT Glenmarie) ke Setiawangsa (LRT Setiawangsa), jadi boleh turunkan di kawasan sekitar. Saya nak bantu sebab semalam kesian baca ramai terkandas," katanya.

Pengguna dengan nama Pami Nordin pula mencari pengguna LRT yang terkandas untuk berkongsi perkhidmatan e-hailing dari stesen LRT Abdullah Hukum, manakala Alif Zulkafli mencari pengguna LRT yang mahu berkongsi perkhidmatan e-hailing untuk ke Ampang Point.

Sementara itu, pengguna Twitter, K Shafiq pula mencari penyelesaian jangka panjang dan berharap ada pihak yang sanggup berkongsi kenderaan dengannya kerana tidak sanggup mengguna khidmat e-hailing setiap hari.

"Mencari 'carpool' (kongsi kereta) dari PH/Alam Megah ke Dang Wangi. Tak larat nak Grab hari-hari. Makan baju nanti akhir bulan," katanya.

Terdahulu, Rapid KL perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya antara Stesen KLCC dan Kelana Jaya terpaksa dihentikan sekitar 3.30 petang tadi selepas laluan itu mengalami gangguan teknikal.

Ia adalah gangguan keempat dalam tempoh empat hari, menyebabkan pengguna yang bergantung kepada pengangkutan awam itu untuk ke tempat kerja dan pulang ke kediaman setiap hari, menzahirkan rasa marah dan kecewa dengan kekerapan gangguan perkhidmatan LRT ketika ini.

Rapid KL dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya mula mengesan gangguan pada sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) pada pagi Sabtu lalu, sebelum menjalankan baik pulih dan tujuh kali ujian pada tengah malamnya.

Bagaimanapun, masalah sama berulang pada 10.38 pagi semalam, menyebabkan perkhidmatan LRT antara Stesen KLCC dan Kelana Jaya dihentikan untuk memberi laluan pada proses baik pulih.

Pada 8.39 malam semalam, masalah sama sekali lagi menyebabkan perkhidmatan antara Stesen Ampang Park dan Kelana Jaya terjejas, sebelum keseluruhan perkhidmatan laluan Kelana Jaya ditamatkan awal.

Ketika ini, Rapid KL menawarkan perkhidmatan bas perantara kepada penumpang terjejas di sepanjang laluan LRT Kelana Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 7:39 PM