LAPORAN Harian Metro sebelum ini
LAPORAN Harian Metro sebelum ini
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya masih mengalami gangguan menyebabkan perkhidmatan antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park diberhentikan.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan perkhidmatan antara kedua-dua stesen terbabit terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan apabila gangguan pada sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) Laluan Kelana Jaya mula dikesan jam 3.03 petang tadi.

"Setakat jam 8.30 malam tadi, perkhidmatan tren perantara dari Stesen LRT Gombak ke Stesen LRT Damai serta dari Stesen LRT Ara Damansara ke Stesen LRT Putra Heights masih berjalan.

"Operasi tren dari Stesen LRT Putra Heights berpatah balik di Stesen LRT Ara Damansara, manakala operasi tren dari Stesen LRT Gombak berpatah balik di Stesen LRT Damai," katanya.

Menurutnya, perkhidmatan tren akan ditamatkan jam 11 malam ini.

"Pengumuman mengenai gangguan perkhidmatan sudah dilakukan di stesen dan di dalam tren bagi memaklumkan penumpang mengenai status perkhidmatan terkini serta makluman melalui media sosial Rapid KL.

"Ia untuk memudahkan penumpang merancang perjalanan mereka menggunakan perkhidmatan alternatif," katanya.

Katanya, perkhidmatan bas perantara percuma antara stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park turut disediakan bagi memudahkan pergerakan penumpang yang terkesan akibat gangguan perkhidmatan berkenaan.

"Perkhidmatan bas perantara akan dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam ini bagi menampung penumpang.

"Pasukan kejuruteraan dan teknikal Rapid Rail dibantu oleh pihak Thales Group di Canada selaku pengilang peralatan asal atau OEM sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan ini.

"Setakat ini, apa yang diketahui adalah terdapat gangguan kepada komponen elektronik sistem kawalan tren automatik atau ATC yang menyebabkan kehilangan signal di antara pusat kawalan dan tren," katanya.

Katanya, gangguan itu menyebabkan tren-tren tidak dapat beroperasi secara automatik antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park.

"Kami akan memaklumkan status perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dari semasa ke semasa kepada orang awam menerusi saluran media sosial dan media massa.

"Segala kesulitan dialami para penumpang disebabkan oleh gangguan ini amat dikesali dan kami memohon maaf atas gangguan perjalanan yang terpaksa ditempuhi oleh semua pengguna perkhidmatan Rapid KL," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 10:30 PM