Diskaun tambang 50 peratus antara 6 hingga 7 pagi, Isnin hingga Jumaat, bertujuan mengelak kesesakan pada waktu puncak. - Foto Fail
Diskaun tambang 50 peratus antara 6 hingga 7 pagi, Isnin hingga Jumaat, bertujuan mengelak kesesakan pada waktu puncak. - Foto Fail
Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: Bermula esok, pengguna LRT laluan Kelana Jaya, Seri Petaling, monorel Rapid KL dan Perkhidmatan Bas Rapid Transit-Laluan Sunway (BRT) antara jam 6 hingga 7 pagi, diberi diskaun tambang 50 peratus.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) Datuk Azmi Abdul Aziz berkata, tambang separuh harga itu bagaimanapun hanya sah pada hari bekerja bermula Isnin sehingga Jumaat.

"Ia bertujuan menggalakkan pengguna keluar lebih awal, sekali gus mengelakkan terlalu ramai pengguna berpusu-pusu menggunakan perkhidmatan awam selepas jam 7 pagi seperti kebiasaan.

"Promosi ini sah sehingga diberitahu kelak," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Keadaan kabel elektrik yang sudah uzur dan mencapai had jangka hayat 20 tahun di laluan LRT Kelana Jaya menjadi punca gangguan perkhidmatan awam itu pada 7 dan 9 September lalu.

Menurutnya, penilaian awal mendapati kabel di laluan berkenaan yang mempunyai had jangka hayat 20 tahun sehingga 2018, menghadapi masalah sebelum tempoh sepatutnya.

"Sehubungan itu, kita akan menaik taraf 15 sub stesen di laluan Kelana Jaya bermula dari Gombak sehingga Putra Heights bermula minggu depan membabitkan kos kira-kira RM250 juta," katanya.

Pada 7 September lalu, ribuan pengguna sistem transit aliran ringan (LRT) terkandas lebih enam jam di stesen LRT akibat gangguan teknikal.

Gangguan sama sekali lagi berlaku pada 9 September sehingga menyebabkan ribuan pengguna yang mahu ke tempat kerja dan pulang ke kampung untuk menyambut Aidiladha, terkandas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 8:11 PM