Aizat Sharif


Image

Arau: Isu calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Arau yang dianggap sebagai 'calon luar' sepatutnya diberi perhatian oleh Datuk Seri Shahidan Kassim pada 2004 dulu.

Calon BN Parlimen Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman berkata, isu 'calon luar' yang dimainkan oleh Shahidan selepas bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) sepatutnya diberi perhatian sejak 2004 lalu.

"Saya rasa isu calon luar ini patut di 'highlightkan' pada 2004 sewaktu saya jadi Ketua Pemuda Umno Bahagian Arau.

"Masa 2004, dia adalah Ketua Umno Bahagian Arau dan dia patut 'warning' saya bahawa saya 'orang luar' dan tak boleh jadi Ketua Pemuda.

"Namun begitu, saya masih menjadi Ketua Pemuda Umno Bahagian Arau dari 2004 hingga 2013 diikuti Naib Ketua Bahagian Arau pada 2013 hingga 2018," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan wakil penunggang motosikal 'e-hailing' sekitar Parlimen Arau di Stesen Bas Arau, di sini, hari ini.

Katanya, Shahidan pernah secara berseloroh berkata 'siapa yang mai Perlis lebih dua jam maka dia adalah orang Perlis'.

"Jadi saya dah 20 tahun maka saya adalah orang Perlis dan hubungan saya masih baik dengan orang Arau," katanya.

Ditanya sama ada, Bilik Gerakan BN yang ditutup berikutan pengguguran Shahidan akan dibuka semula, beliau menjelaskan bahawa bahawa penutupan bilik gerakan itu tidak sampai 10 peratus di Parlimen Arau.

"Kalau ada yang masih tak mahu hendak membuka (bilik gerakan), kita ada cara lain kerana hanya sebilangan kecil saja yang tak nak tetapi ada yang nak buka buka bilik gerakan bantu kempen kita.

"Alhamdulillah, ramai yang semakin faham dengan keadaan situasi semasa kerana sebelum ini mereka agak bingung menentukan mana arah tuju yang terbaik namun semangat dan keikhlasan mereka sebagai ahli BN masih kukuh, mereka masih mahu memberikan sokongan terhadap BN pada kali ini," katanya.

Dalam PRU kali ini, Rozabil atau lebih dikenali sebagai Tok Ben akan ditentang penyandang kerusi itu, Shahidan dan calon muda Pakatan Harapan (PH), Fathin Amelina Fazlie.

Pada PRU-14 lalu, Shahidan memenangi kerusi Parlimen Arau d ibawah BN dengan majoriti 4,856 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 4:12 PM