SHAHIDAN dan Zahidi. FOTO arkib NSTP
SHAHIDAN dan Zahidi. FOTO arkib NSTP
Aizat Sharif


Arau: Tumpuan masyarakat di Perlis kini terarah kepada dua Parlimen yang banyak mewarnai landskap politik negeri selama ini dengan menjadi 'lubuk' kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu iaitu Parlimen Arau dan Parlimen Padang Besar.

Ini disebabkan terdapat desas-desus mengatakan kedua-dua penyandangnya, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin berkemungkinan tidak dapat mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing kerana digugurkan daripada menjadi calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

Sumber parti berkata, berdasarkan maklumat yang diterima terdapat kemungkinan hanya Zahidi saja yang digugurkan sebaliknya Shahidan kekal untuk mempertahankan Parlimen Arau.

Namun begitu, peluangnya Shahidan terus kekal di Parlimen Arau dilihat antara 50-50 apabila terdapat kemungkinan beliau juga digugurkan bagi memberi peluang kepada calon muda.

"Kerusi Parlimen Arau akan digantikan calon muda dari Umno kerana pembangkang dari Pakatan Harapan (PH) juga menampilkan calon muda di situ manakala Parlimen Padang Besar pula dikatakan akan dipilih dalam kalangan calon wanita dari Umno Bahagian Padang Besar.

"Bagaimanapun ini hanyalah spekulasi semata-mata kerana segala keputusan terserah kepada pimpinan parti di bahagian pusat yang dijangka akan mengumumkannya sama ada hari ini atau esok," katanya.

Shahidan begitu sinonim dengan Parlimen Arau apabila menerajui kawasan itu sebagai Ahli Parlimen selama empat penggal bermula PRU 1986, 1990, 2013 dan 2018 selain pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang pada 1995, 1999, 2004 dan 2008 ketika penggal di mana beliau menjadi Menteri Besar Perlis.

Manakala, Zahidi pula memulakan perjalanan sebagai Ahli Parlimen Padang Besar hanya pada PRU 2013 sebelum meneruskan kemenangan pada PRU 2018 dan sebelum itu pula, beliau pernah menjawat sebagai Adun Beseri pada 1999 dan 2004.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 1:09 PM