SEBAHAGIAN penduduk yang berjaya dipindahkan ke tempat selamat. FOTO Ihsan Bomba.
SEBAHAGIAN penduduk yang berjaya dipindahkan ke tempat selamat. FOTO Ihsan Bomba.
Zuliaty Zulkiffli


Changlun: Pasukan Bomba berjaya memindahkan tujuh mangsa daripada dua keluarga di Kampung Guar Batu Hitam, Batu 7, Jalan Kodiang, dekat sini ke tempat selamat selepas rumah mereka dilanda banjir, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kesemua mangsa dipindahkan ke rumah keluarga terdekat menggunakan bot aluminium selepas kawasan itu dinaiki air setinggi hampir satu meter.

Beliau berkata, banjir berlaku susulan hujan lebat melebihi dua jam menyebabkan lebih 10 rumah di kampung itu terjejas akibat dinaiki air.

"Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.58 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam dihantar ke lokasi untuk khidmat khas awal banjir.

"Operasi disertai Ketua BBP Bukit Kayu Hitam, Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Manaf bersama anggotanya dan ketika operasi dilakukan keadaan hujan masih renyai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi menyelamat tamat pada 6.57 petang selepas semua mangsa terbabit berjaya dibawa keluar dari situ.

"Operasi turut dibantu pasukan dari BBP Jitra," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 8:16 PM