RUMAH mangsa yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba.
RUMAH mangsa yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba.
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI cedera terkena kejutan elektrik sewaktu hendak keluar menyelamatkan diri rumahnya di Jalan Kampung Gandai, Kampung Gandai, di Jitra, yang terbakar malam tadi.

Dalam kejadian 10 malam itu, rumah dua tingkat berkenaan terbakar 70 peratus.

Bagaimanapun, mangsa yang berusia 48 tahun berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum anggota bomba tiba di lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.19 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Operasi disertai 11 anggota dan tiga jentera dari BBP Jitra untuk membantu memadam kebakaran.

"Selain itu operasi turut dibantu tujuh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Air Hitam, Padang Sera, Tunjang, Lana Bulu, Kuala Kedah, Seberang Nyonya dan Jalan Kundur," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, setibanya di lokasi, didapati sebuah rumah kelas B separa batu dan kayu sedang terbakar.

Beliau berkata, terdapat seorang mangsa didapati mengalami kecederaan akibat terkena renjatan elektrik di lokasi kejadian.

"Mangsa dihantar ke Hospital Jitra menaiki EMRS BBP Jitra untuk mendapatkan rawatan, namun kecederaan yang dialami tidak serius dan hanya mengalami kecederaan ringan.

"Kebakaran berjaya dipadamkan dengan cepat oleh PBS Air Hitam yang tiba lebih awal di tempat kejadian," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi tamat pada jam 12.25 malam dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Beliau berkata, setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 8:39 AM