Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi bayangan kebanyakan calon tempatan akan bertanding di kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi parti itu di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada ada calon orang luar bagi kerusi Bersatu Perak.

"Kebanyakan tempatan...kita di sebelah Kuala Kangsar ke bawah kita tetap pastikan calon yang minum 'ayor' .

"Manakala untuk Taiping ke atas itu kita bagilah mereka yang minum 'ayaq' nak jadi calon," katanya ketika ditemui pada Program Pemeriksaan Kesihatan di Dewan Azumu Impian Meru di sini, hari ini.

Penyandang kerusi Parlimen Tambun itu memberi bayangan Bersatu akan bertanding lebih banyak kerusi Parlimen berbanding parti gabungan lain.

"Saya nampak daripada peringkat kerusi Dun agak setara, tetapi dalam agihan kerusi Parlimen di negeri ini, Bersatu akan bertanding lebih kerusi daripada gabungan PAS dan Gerakan," katanya.

Ahmad Faizal mengadakan sidang media ketika hadir pada Program Pemeriksaan Kesihatan di Dewan Azumu Impian Meru. FOTO L MANIMARAN
Ahmad Faizal mengadakan sidang media ketika hadir pada Program Pemeriksaan Kesihatan di Dewan Azumu Impian Meru. FOTO L MANIMARAN

Ditanya sama ada ada elemen kejutan pada kerusi berkenaan, Ahmad Faizal berkata, semua kerusi merangkumi kepelbagaian aspek.

"Saya fikir gabungan calon yang kita akan tawarkan kepada rakyat di Dun dan Parlimen adalah dalam kalangan anak Perak.

"Selain itu, ia membabitkan calon berpengalaman, baharu, profesional dan penggiat politik selain merangkumi semua kaum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 3:52 PM