Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan pertemuan bersama rakan strategik di dalam Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat bagi membincangkan tentang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, segala perancangan berhubung pilihan raya akan diputuskan selepas perbincangan.

"Dewan (Undangan Negeri) sudah dibubarkan kita menghormati keputusan yang dibuat oleh Menteri Besar Johor.

"Ia sudah disembah maklum kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan baginda sudah perkenan, maka SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) perlu melakukan proses seterusnya dan perlu diadakan pilihan raya di negeri itu.

"Tentunya Bersatu akan mengambil bahagian dan kami akan berbincang dengan rakan strategik kami dalam PN untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan," katanya.

Beliau mengulas demikian apabila ditanya pemberita berhubung persiapan Bersatu menghadapi PRN Johor.

Ahmad Faizal ketika hadir merasmikan Seminar Pendigitalan Perniagaan Anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) di Hotel Casuarina, Meru. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Ahmad Faizal ketika hadir merasmikan Seminar Pendigitalan Perniagaan Anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) di Hotel Casuarina, Meru. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Ditanya lagi berkenaan Pas yang memberi bayangan mahu bekerjasama dengan Umno, Ahmad Faizal enggan mengulas lanjut.

Terdahulu beliau merasmikan program Seminar Digitalisasi Perniagaan di Hotel Casuarina Meru di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik.

Semalam, media melaporkan, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (Dun) berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Media turut melaporkan PRN Johor perlu diadakan berikutan kerajaan negeri berada dalam keadaan amat tidak stabil dan berada atas ihsan pembangkang.

Pengerusi Perhubungan Umno Johor Datuk Hasni Mohammad dilaporkan berkata, kedudukan kerajaan negeri yang rapuh itu tidak harus berlaku di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 3:47 PM