Muhammad Sanusi (enam dari kiri) bersama Timbalan Pengerusi Pakatan Nasional (PN) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melancarkan Himpunan Jentera Perikatan Nasional Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut malam tadi. FOTO BERNAMA
Muhammad Sanusi (enam dari kiri) bersama Timbalan Pengerusi Pakatan Nasional (PN) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melancarkan Himpunan Jentera Perikatan Nasional Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut malam tadi. FOTO BERNAMA
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Perikatan Nasional (PN) Kedah yakin menang kesemua 15 kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November depan.

Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keyakinan itu disuarakan berdasarkan perbezaan undi yang tipis antara calon Pas dan Barisan Nasional (BN) di beberapa kerusi Parlimen pada PRU-14 lalu.

"Kita di Kedah sudah putuskan pembahagian kerusi iaitu lapan kerusi diletakkan calon Pas, manakala tujuh kerusi lagi adalah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), (bagi) Gerakan, mereka nyatakan belum bersedia untuk letak calon.

"Kita akan gunakan logo PN... Kita yakin mampu rampas kerusi Parlimen yang kita kalah sebelum ini contohnya di Baling pada PRU-14, BN menang 38,000 undi berbanding calon Pas 37,000 undi. Kita perlu 1,000 undi lagi untuk tewaskan penyandangnya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

"Di Padang Terap pula, beza undi antara penyandangnya, Datuk Seri Mahdzir Khalid cuma 1,300 undi berbanding calon Pas ketika itu, jadi takkan kita tak boleh menang di dua Parlimen ini, begitu juga dengan Parlimen Langkawi, takkan kita tak boleh lawan dengan calon yang (usia) menjangkau 100 tahun dan menang di situ," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Himpunan Jentera PN Kedah, di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kemenangan 15 Parlimen di Kedah akan menjadi antara penyumbang untuk PN menang sekurang-kurangnya 112 kerusi untuk membentuk kerajaan.

Katanya, individu yang menjadi calon PN perlu bekerja keras untuk menang di kawasan selain tidak kedekut dan sombong.

"Saya nak 15 kerusi Parlimen di Kedah ini kita menang dan kita sediakan kerajaan Persekutuan bagi membawa pembangunan di Kedah termasuk melaksanakan Projek Aerotropolis di Kulim," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah turut memberi bayangan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) negeri itu selepas Hari Raya Aidiladha pada Julai depan tahun depan.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas umat Islam bakal menyambut Ramadan pada Mac dan Hari Raya Aidilfitri pada April, dan seterusnya Hari Raya Aidiladha pada penghujung Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 9:26 AM