GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhamaad Razis Ismail


PAS memberi bayangan akan memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Johor.

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya memberi keutamaan kepada calon BN kerana kerusi itu adalah milik parti itu.

Katanya, bagaimanapun perkara itu masih belum dibincangkan.

“(Sebelum ini) kerusi itu milik BN, jadi keutamaannya kepada BN.

“Jika calon MCA pun kita akan terima dan sokong apa yang dipilih dan dipersetujui BN,” katanya di Kota Bharu hari ini.

Menurutnya, berdasarkan keputusan PRU lalu BN dan PAS memiliki potensi untuk menang dalam PRK itu.

“Kita ambil kira amalan tiga PRK lalu iaitu bekerjasama dengan BN. Di atas kertas jika undi PAS dan BN dicampur, ada potensi untuk menang.

“Biarpun undi PAS tidak besar, tapi mungkin boleh membantu untuk menang,” katanya.

Kerusi parlimen Tanjung Piai kosong berikutan penyandangnya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Farid Md Rafik, 42, meningal dunia di Hospital Pontian akibat serangan jantung Sabtu lalu.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 4:53 PM