KEADAAN kereta Porsche yang dipandu mangsa. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kereta Porsche yang dipandu mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Ahli perniagaan maut selepas kereta Porsche dipandunya melanggar dua kenderaan lain sebelum terbabas dalam kemalangan di Kilometer 55 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah Kuantan, dekat Bentong, Pahang, semalam.

Dalam kejadian jira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa, Lee Cheng Yik berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu yang turut membabitkan kereta Proton Saga FLX dipandu lelaki berusia 32 tahun dan Proton Waja dipandu lelaki berusia 71 tahun jam 2.15 petang.

"Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah Gombak menghala ke Raub sebelum kereta dipandunya melanggar bahagian belakang salah sebuah kereta dan terbabas lalu melanggar sebuah lagi kereta di lorong kiri jalan.

"Pelanggaran itu menyebabkan kereta berkenaan terjunam ke sebelah kiri jalan di laluan keluar sebuah stesen minyak di lokasi terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaiham berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta Porsche berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu dua lagi kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang menyaksikan kejdian itu boleh menghubungi pihak polis berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.52 tengah hari, semalam.

"Seramai 10 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami mendapati terdapat kemalangan berlaku membabitkan sebuah kereta Porsche yang terbabas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulfadli berkata, pemandu kereta berkenaan dilaporkan tersepit di bahagian pemandu akibat kemalangan itu.

"Pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan alat penyelamat hidraulik.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 1:32 PM