Hazlina Jalil menyaksikan penyerahan sumbangan bantuan bencana banjir oleh Petronas Wilayah Selatan kepada daerah Kota Tinggi menerusi APM Negeri Johor dan JBPM Negeri Johor di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Hazlina Jalil menyaksikan penyerahan sumbangan bantuan bencana banjir oleh Petronas Wilayah Selatan kepada daerah Kota Tinggi menerusi APM Negeri Johor dan JBPM Negeri Johor di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Izz Laily Hussein


Kota Tinggi: Sebanyak 65 kawasan panas (hotspot) banjir dikesan di daerah ini termasuk di kawasan kampung, Felda dan kawasan perumahan.

Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hazlina Jalil berkata, dengan jumlah kawasan yang dikesan, tindakan awal diambil seperti menyelenggara sungai dan longkang bagi memastikan ia tidak tersumbat.

"Untuk makluman, daerah Kota Tinggi mempunyai 10 buah mukim dan terdapat 65 kawasan 'hotspot' bencana banjir yang membabitkan 53 kawasan kampung, 10 kawasan taman perumahan dan dua kawasan Felda.

"Tindakan awal sudah diambil menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam memastikan sungai dan longkang-longkang diselenggara secara berkala supaya tidak tersumbat.

"Saya merayu bantuan penduduk dan masyarakat juga supaya tidak membuang sampah merata-rata terutamanya di dalam sungai dan longkang," katanya ketika sidang media selepas Program Bantuan Bencana Peringkat Negeri Johor Petronas Wilayah Selatan di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya di sini, hari ini.

Selain kawasan 'hotspot', Hazlina berkata, empat jalan utama juga dikenal pasti sering terputus hubungan sekiranya berlaku banjir.

Oleh itu, katanya, projek menambah baik jalan raya itu bagi menghadapi bencana banjir akan dimulakan bulan depan.

"Terdapat empat jalan utama yang terputus hubungan atau pun dinaiki air sekiranya berlaku banjir, antaranya di jalan berhampiran Lembaga Getah Malaysia (LGM).

"Projek berhubung jalan terputus ini dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan mungkin selewat-lewatnya akan dimulakan pada November ini.

"Kita berharap dengan projek ini, masalah jalan terputus hubungan dapat diselesaikan," katanya yang turut memaklumkan terdapat 64 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang boleh menempatkan lebih kurang 5,000 orang penduduk di daerah itu pada musim banjir.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Hazlina yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Tinggi menyaksikan penyerahan sumbangan bantuan bencana banjir oleh Petronas Wilayah Selatan kepada daerah Kota Tinggi menerusi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Johor dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor.

Petronas Wilayah Selatan menyumbang empat buah bot berserta enjin, tangki, bahan api dan kelengkapan bot yang lain, 500 khemah perlindungan, 250 jaket keselamatan dan 2,500 baju hujan.

Ditanya lanjut mengenai banjir di daerah itu, Hazlina berkata, jumlah taburan hujan ketika ini belum mengatasi jumlah taburan hujan pada tahun sebelum lalu.

Katanya, walaupun berkemungkinan hujan akan berlaku pada beberapa bulan ini, namun beliau berharap, tiada insiden banjir besar melanda daerah itu pada tahun ini.

"Kalau kita lihat taburan hujan daripada pembentangan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan JPS, bila dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum, ia belum mengatasi jumlah taburan hujan pada tahun lalu.

"Kita jangka memang akan berlaku hujan dalam beberapa bulan ini, namun kita harapkan tidak berlaku banjir besar pada tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 1:12 PM