Laporan Harian Metro sebelum ini
Laporan Harian Metro sebelum ini
Raja Noraina Raja Rahim


TILAM, kerusi dan meja antara sampah yang tersangkut di tiang jambatan pada longkang besar sehingga longkang tersumbat dikenal pasti menjadi punca banjir kilat di Jalan Tuanku Munawir, Seremban, berhampiran Wisma UMNO.

Dalam kejadian 6 petang kelmarin, hujan lebat lebih dua jam menyebabkan beberapa kawasan di daerah Seremban termasuk tempat letak kereta bangunan Wisma UMNO dilanda banjir kilat.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemeriksaan mendapati dua longkang besar berhampiran kawasan berkenaan tersumbat ketika hujan lebat mengakibatkan air melimpah dan berlaku banjir kilat.

"Bagaimanapun, aliran air di longkang lain di pusat bandar adalah lancar.

"Kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan besar melaksanakan sistem tebatan banjir dengan membesarkan longkang dan parit. Projek itu terbukti berkesan kerana tiada lagi banjir kilat di bandar ini sejak 2012," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, hari ini.

Mohamad berkata, beliau kecewa dengan sikap masyarakat yang tidak bertanggungjawab membuang sisa pukal itu sehingga menyebabkan longkang tersumbat.

"Majlis Perbandaran Seremban (MPS) sudah pun menjalankan penyelenggaraan sistem perparitan, namun jika sikap masyarakat tidak berubah, banjir kilat seperti itu akan tetap berulang," katanya.

Sementara itu, Mohamad ketika berucap mengingatkan semua ahli UMNO supaya menerima calon yang dipilih pucuk pimpinan untuk bertanding pada PRU-14 nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 5:17 PM