RAJA Gamar  menunjukkan keadaan banjir di depan kedai makannya di Jalan Lama Seremban-Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
RAJA Gamar menunjukkan keadaan banjir di depan kedai makannya di Jalan Lama Seremban-Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: “Dah banyak kali kawasan ini banjir, kami pun dah bosan,” kata peniaga gerai makan, Raja Gamar Gamar Cahaya Raja Onn Jalil, 53, menceritakan kejadian banjir kilat yang sering melanda premis perniagaannya di Jalan Seremban-Port Dickson, berhampiran Klinik Kesihatan Port Dickson, di sini, semalam.

Beliau berkata, hujan lebat melanda kawasan itu pada jam 9 pagi menyebabkan air memenuhi jalan raya setinggi 0.5 meter.

“Tidak lama kemudian, air memasuki kedai saya dan sebuah lagi premis berhampiran,” katanya memaklumkan sudah berniaga di situ sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, bermula 2008 hingga sekarang, hampir 40 kali banjir kilat berlaku menyebabkan penduduk mulai bosan.

“Nak cakap lebih pun tak guna, alih-alih pun benda yang sama juga,” katanya ditemui di premis itu, di sini, semalam.

Menurutnya, setiap kali hujan lebat dia bergegas ke kedainya kerana tahu akan berlaku banjir.

“Saya membuat persiapan awal iaitu memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi. Kerugian hanya tidak dapat berniaga pada hari ini,” katanya.

Katanya, kebiasaannya hujan lebat akan disusuli air pasang besar ditambah pula keadaan longkang yang tersumbat.

“Disebabkan itu berlaku banjir kilat dan wajar diambil perhatian pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Zamri Mat Kassim berkata, pihaknya akan berbincang bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menyelesaikan masalah itu.

Katanya, pihaknya setakat ini belum menerima aduan berhubung banjir di lokasi itu malah tidak menolak kemungkinan punca disebabkan longkang tersumbat.

“Esok (hari ini) saya akan adakan mesyuarat berkaitan masalah terbabit bagi membantu penduduk,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 5:22 AM